"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
INGAT! Reformasi Bukan Berakhir Dengan Perletakkan Jawatan Mahathir

Desas-desus semakin kencang diberitakan bahawa Mahathir Mohamed sedang menghadapi tekanan dan desakan dari dalaman UMNO yang mendesaknya meletakkan jawatan segera sekiranya 'UMNO dan Melayu' ingin diselamatkan.

Kita tidak berminat untuk mengetahui lanjut dan menganalisa bagaimana desakan dan tekanan yang dikenakan ke atas Mahathir oleh kalangan pimpinan tertinggi UMNO samada dari Team B atau Majlis Tertinggi UMNO. Cuma, kita ingin memperjelaskan dan memperingatkan bahawa perjuangan BA bukanlah sekadar tertumpu ke arah kejatuhan seorang diktator tua itu, tetapi lebih kepada melaksanakan dan merealisaikan aspirasi, amanah dan kesedaran rakyat sekaligus memenuhi segala prinsip bersama yang diperjuangkan iaitu menegakkan keadilan dan kebenaran dan menghapuskan segala bentuk kezaliman dan kebatilan di dalam apa jua bentuk dari soal kehidupan sosial masyarakat dan ummah sehinggalah dalam soal pentadbiran negara dan undang-undang.

Maka dari itu para pendokong perjuangan kini haruslah bersikap jujur, ikhlas, telus, berfikiran waras dan tajam dalam permainan politik, beramanah dan tidak mudah alpa dengan sebarang kemungkinan yang berlaku dipersekitaran buat masa terdekat ini. Meskipun Dr.Mahathir belum menunjukkan sebarang tanda bahawa ia akan meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri, namun desas-desus berita yang tersebar tidak seharusnya dipandang remeh dan seharusnya para pendokong perjuangan senantiasa bersedia kerana diyakini bahawa gabungan BA juga tidak terlepas dari menerima kesan dari perletakkan jawatan Mahathir Mohamed.

Di antara kemungkinan kesan yang timbul apabila desas-desus itu menjadi kenyataan ialah;
1. Kemungkinan kembalinya sebahagian penyokong dan pendokong gabungan BA kepangkuan UMNO dan BN kerana kekecewaan kemarahan mereka hanyalah tertumpu kepada Mahathir Mohamed.

2. Pewaris pimpinan UMNO (yang baki) akan mengeksploitasikan peristiwa yang berlaku kununnya kejatuhan Mahathir adalah usaha mereka dari dalaman UMNO dan ini membuktikan bahawa UMNO/BN menunaikan kehendak sebahagian besar ahli UMNO yang mahukan reformasi berlaku dari dalaman.

DUA perkara penting di atas adalah sebahagian daripada kemungkinan dan seharusnya para pendokong dan penyokong perjuangan reformasi tetap teguh berpegang kepada asas perjuangan iaitu memastikan bukan sekadar Mahathir Mohamed yang disingkirkan bahkan UMNO dan Barisan Nasional juga dipastikan untuk tidak menerajui lagi pemerintahan negara tercinta ini. Kita harus ingat perbuatan UMNO/BN di bawah kepimpinan Mahathir Mohamed telah mengakibatkan rosaknya sistem kehakiman dan perundangan negara, 'langsai'nya harta dan duit rakyat bagi menyelamatkan diri dan kroni hasil dari kegagalan penswastaan, berleluasanya budaya menyeleweng kuasa dan rasuah di negara serta penghinaan kepada Ulama dan perundangan Islam.

Seandainya benar 'kejatuhan Mahathir' semakin hampir, cukuplah sekadar 'menarik nafas lega' sedikit sambil berbisik perjuanganku berhasil juga meskipun tanpa cita-cita besar. Sebelum kuhumbankan diriku sepenuhnya untuk meneruskan baki perjuangan yang masih belum terlaksana itu, tidak mungkin cita-cita besarku akan tercapai bagi melihat Malaysia dianugerahi 'Baldatun Taiyyibah WaRabbun Ghafur'.

'Ke arah Malaysia yang ADIL dan Saksama'
Teruskan perjuangan

ntzalim
28/1/01 2.00am