"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
Panas, PAS tolak berbincang dengan UMNO
ikhsan:Laman Werfeormis

PAS tidak akan berbincang dengan Umno mengenai perpaduan Melayu kerana, menurut Presidennya Ustaz Fadzil Noor, tidak ada perpecahan yang berlaku di kalangan orang-orang Melayu.

Fadzil ternyata melegakan tekanan dan rasa cemas di kalangan rakyat Malaysia mengenai reaksinya terhadap tipu-helah terbaru Umno itu apabila beliau menegaskan, PAS tidak akan menerima undangan Umno jika perbincangan hanya terbatas mengenai perpaduan Melayu sahaja.

Beliau akhir-akhir ini menjadi sasaran kecaman sebahagian rakyat kerana digambarkan oleh media-media pro-Barisan Nasional sebagai bersedia untuk berbincang dengan Umno mengenai perpaduan Melayu. Malah, sebahagian dari mereka menyifatkan sebarang reaksi positif terhadap tipu-helah Umno itu akan hanya memulihkan imej Umno dan Presidennya, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed, yang kian kotor dan keji di kalangan orang-orang Melayu.

Fadzil mengulangi penegasan pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif yang lain bahawa orang-orang Melayu tidak berpecah tetapi hanya merubah pendirian politik kerana majoriti besar dari mereka menolak Umno dan memberikan sokongan kepada Barisan Alternatif.

"Jika Umno menghadapi masalah, jangan mengharapkan kita (Barisan Alternatif) untuk menyelesaikan masalah mereka," beliau dipetik oleh Malaysiakini sebagai berkata. "Umno yang berpecah dan perpaduan merekalah yang menjadi masalah, bukan perpaduan Melayu".

Beliau mengesahkan bahawa beliau menerima surat dari Umno tetapi tidak menyifatkannya sebagai jemputan kerana surat itu hanya menyatakan satu perbincangan mengenai perpaduan Melayu akan diadakan tetapi tidak menyatakan tarikh, tempat dan agenda perbincangan.

Mengulas lanjut mengenai lakonan Umno kononnya untuk berbincang mengenai perpaduan Melayu, Fadzil menekankan bahawa beliau telah berkali-kali menegaskan bahawa perbincangan berasaskan satu kaum sahaja tidak akan memberikan manfaat kepada negara.

Bagaimanapun, beliau membayangkan PAS tidak menolak untuk berbincang mengenai perpaduan nasional. "Ini adalah negara berbilang kaum dan sebarang perbincangan seharusnya berasaskan perpaduan nasional," Malaysiakini memetik beliau sebagai berkata.

Fadzil berkata beliau mengalu-alukan sebarang jemputan untuk berbincang dengan mana-mana parti tetapi isu dan agenda yang dibincangkan mestilah bermanfaat kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

Berita ini dipetik dari sumber dalaman PAS.