"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
Penterjemah: -MT-

Bila Gunung-ganang Bergema
(MGG:The Mountain Roars....)

Gunung-ganang bergema sehingga seekor tikus keluar menjelma. Inilah kiasan terbaik yang dapat kita berikan terhadap apa yang dikatakan rombakan kabinet Mahathir Mohamed seperti yang diumumkan semalam, sebelum beliau berlepas ke Jepun. Rancangan awalnya untuk melakukan rombakan besar terpaksa dilengahkannya setelah menyedari betapa mereka yang digugurkan masih mempunyai sokongan akar umbi dan berkemungkinan melancarkan cabaran terhadap parti.

Tetapi, kalau mereka terus dikekalkan, kabinet barunya itu masih boleh ditumbangkan dengan kuasa terpendam. Dia memang mahu merombak kabinetnya, tetapi tidak mampu untuk melakukannya. Dengan lain perkataan, dia sudah menjadi kekalutan apa juga yang perlu dilakukan.

Dia telah mencipta sebuah kementerian baru, melantik dua menteri baru, dua timbalan menteri, seorang setiausaha parlimen, tidak menyingkirkan sesiapa ataupun melakukan perubahan kepada portfolio yang sedia ada. Semua muka baru adalah senator. Kejengkelan orang UMNO terhadap perlantikan Tan Sri Musa Mohamed masih belum reda lagi. Beliau bukan sahaja tidak ada keahlian dalam parti, dilantik pula menjadi menteri pendidikan selepas pemilu 1999 selesai dilaksanakan.

Timbalan menteri di jabatan perdana menteri, Shahrizat Abdul Jalil menerima kenaikan pangkat mengepalai kementerian hal ehwal wanita. Hanya beliau yang pernah memenangi kerusi pemilu, di kalangan yang baru dilantik itu. Ketua Pengarah Pusat Islam, Abdul Hamid Zainal Abidin, adalah seorang panglima bersara yang menjadi imam besar angkatan tentera. Kini dia menggantikan Dato Abdul Hamid Othman, yang telah meletakkan jawatannya.

Semua ini menunjukkan Perdana Menteri memang kaget dengan sokongan rakyat yang semakin merudum. Seperti yang jelas berlaku di Kelantan dan Kedah undi wanita telah menekan Barisan Nasional. Untuk memperbaiki keadaan dia tubuhkan Puteri UMNO dan kini satu kementerian mengenai hal ehwal wanita diwujudkan pula.

Islam sudah merupakan isu yang hangat. Mahathir masih beranggapan dia mampu mengganyang PAS, walaupun dia menyedari adanya usaha bersemuka untuk membincangkan perpaduan Melayu, seperti yang amat difahami oleh Abdul Hamid. Mahathir pada mulanya mahukan Mufti Johor, tetapi dia tidak berjaya memujuknya. Abdul Hamid pernah berlagak angkuh di satu majlis Jumaat di Masjid Negara sehingga ramai manusia bingkas bangun sebaik sahaja dia cuba memberikan khutbah. Ini akan mencetuskan beberapa isu yang lebih hangat lagi: Apakah Islam mesti dijadikan alat pertelagahan di antara UMNO dan PAS, ataupun mungkinkah agama itu dihormati sebagai wadah penyatuan ummah? Perlantikan Abdul Hamid setelah dia dilantik sebagai seorang senator akan hanya mampu memburukkan suasana.

Dua timbalan menteri terbaru dan seorang setiausaha parlimen adalah muka-muka yang menjadi senator terlebih dulu. Setiausaha kerja UMNO, Tengku Adnan Mansor, menjadi timbalan menteri di jabatan perdana menteri; Presiden PPP, M. Kayveas menjadi timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan; bekas ketua pengarang Utusan Malaysia, Zainuddin Maidin menjadi setiausaha parlimen di kementerian penerangan.

Sebagai seorang wartawan saya terkejut betapa ZAM sanggup menerima perlantikan itu. Sebagai seorang ketua pengarang, dia memang tidak ada tolok bandingannya di negara ini, tetapi kini dia hanya merupakan seketul besi tempelan dalam satu roda yang besar. Lagipun berapa besar sangatkah nanti peranan yang akan dimainkannya? Dia seorang yang baik dan sepatutnya diberikan jawatan yang lebih tinggi lagi. Dia mungkin boleh menjadi seorang menteri yang lebih berkesan daripada mereka yang pernah mewarnai jawatan itu.

Kabinet baru ini menunjukkan tidak akan berlaku perubahan besar. Cuma ia menyerlahkan betapa keberkesanan Mahathir sebagai seorang pemimpin sudah banyak menurunnya. Kalau diamati senarai yang ada, ia seolah-olah memudahkan tugas timbalan perdana menteri, Abdullah Ahmad Badawi untuk memperteguhkan kubunya. Sekarang ini dia disakat oleh akar umbi kerana menjadi timbalan presiden UMNO secara di Brahminkan.

Kalau di lain masa, perkara ini mungkin dianggap remeh sahaja.Tetapi, perkara itu semakin penting sekarang ini. Sepatutnya rombakan kabinet itu tidak mempunyai sebarang unsur-unsur sandiwara seperti yang terbayang kini. Segala teka-teki mengenai perubahan besar itu laksana gunung-ganang yang akan bergema sehingga mencetuskan tikut-tikus yang datang menjelm sepatutnya menjadi satu drama. Malangnya, tidak pula.

Sifat keangkuhan Mahathir yang muncul seiring dengan melakukan perubahan kabinet tidak menjadi satu perkara yang menghambat perasaan rakyat marhaen. Semua pihak menyambutnya sebagai satu perkara biasa sahaja, yang melecehkan. Apa yang akan berlaku seterusnya menjadi lebih penting lagi. Akan berlakukah beberapa perubahan kecil ataupun sikap, dalam usaha menutup rahsia yang sentiasa terbocor; merupakan kerja-kerja di sebalik tabir yang dinanti-nantikan untuk diamati.

Mahathir tidak melakukan perubahan seperti yang sepatutnya untuk membolehkan beliau diterima kembali oleh arus politik orang Melayu. Yang lebih pelik, beliau berkemungkinan mengundurkan diri lebih awal daripada persaraan yang dijangkakan. Kalau dia terus kekal di kerusinya, segala usaha untuk menonjolkan kewibawaan penggantinya Abdullah Ahmad Badawi akan menjadi tawar hambar. Kalau dia enggan undur, tekanan agar jawatan presiden UMNO mesti dipertandingkan; akan membuatkan salah seorang mereka menolak pencalonan yang sengaja dicetus oleh akar umbi.

Sesungguhnya, perubahan kabinet itu bukannya sesuatu yang akan memperteguhkan kedudukan Mahathir, kabinetnya ataupun Barisan Nasional ataupun sesiapa yang bakal menggantikannya. Lainlah, kalau perubahan itu mengambil tindakan spontan, yang pasti tidak akan dilakukan, untuk menentukan agar kemelut Anwar Ibrahim diselesaikan mengikut kehendak budaya Melayu yang selama ini didesak oleh para penyokong parti itu.

-MGG Pillai-
18 Januari, 2001.