"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
Beli balik MAS : Bukti BN selamatkan kroni

KUALA LUMPUR, 22 Disember (Hrkh) - Parti Keadilan Nasional menerima dengan perasaan amat kesal berita keputusan kerajaan
untuk membeli balik ekuiti MAS yang dimiliki oleh Tan Sri Tajuddin Ramli pada harga yang begitu tinggi berbanding nilai pasarannya.

Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dengan keputusan itu, kerajaan BN tetap berdegil mahu menyelamatkan
Tan Sri Tajuddin Ramli lebih daripada menyelamatkan MAS dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Katanya, KeADILan melihat episod malang ini daripada beberapa sudut, pertama ; ia adalah contoh terkini penyelewengan yang
serius dalam perlaksanaan dasar ekonomi negara.

"Ia menunjukkan bahwa BN telah mengenepikan semua prinsip-prinsip asas seperti ketelusan, pertanggungjawaban awam (public
accountability) dan pengurusan ekonomi yang berhemat. Sebaliknya BN menunjukkan bahawa ia begitu konsisten dalam menjaga
kedudukan kroni-kroni tertentu," katanya.

Tambah beliau, pemimpin-pemimpin BN sebelum ini segaja mengapi-apikan sentimen perkauman dalam masyarakat kita yang
berbilang etnik. Ini katanya sebagai taktik BN untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu-isu sebenar seperti: penyelewangan
kuasa, rasuah, kronisme, nepotisme dan otoritarianisme.

"Bantuan kepada kroni BN dalam kes MAS ini adalah satu bukti bahawa kedudukan istimewa telah menjadi alasan kerajaan BN untuk
menyelamatkan kroni-kroni mereka.

"Kerajaan BN telah mengamalkan dasar ekonomi pilih kasih di kalangan korparat-korporat. Banyak lagi perlaksanan ekonomi atas
nama Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) sebenarnya hanya mengutamakan sekelompok kecil elit,
termasuk Bumiputra dan bukan-Bumiputra yang kaya-raya. Ujar beliau seterusnya, epidos ini juga menandakan kegagalan
perlaksanaan dasar penswastaan ala-BN yang tidak dilaksanakan dengan pertimbangan yang mencukupi dan perhitungan yang
objektif. Sebaliknya yang menjadi perkiraan adalah ‘siapa dapat apa’ yang akhirnya menyebabkan pelbagai perkhidmatan dan
syarikat awam diswastakan dengan mengenepikan kepentingan awam.

"Apabila menemui jalan buntu, sekali lagi berbilion wang tabungan rakyat seperti Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dalam
kes ini, dikorbankan," katanya.

Beliau mengulangi kenyataan supaya kumpulan Rayuan Suqiu tidak dijadikan sebagai mangsa politik perkauman UMNO.

"Kita sepatutnya menghargai kepelbagaian kaum dalam masyarakat kita sebagai aset dan suatu sumber kekuatan, dalam masyarakat
demokratik, perbezaan pandangan harus ditangani dengan berlapang dada dan dalam suasana saling menghormati.