"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
        Bebanan Negara

        (National Burden)

        Oleh: S. Jayasankaran / Kuala Lumpur.
        The Review Issue cover-dated January 25, 2001

        (Penterjemah:MT)
 
        Rancangan penswastaan Malaysia yang dilancarkan dua tahun
        yang lalu telah diusulkan dengan tujuan untuk melompat ke
        hadapan agar mampu bertapak di gelanggang Dunia Utama,
        memperbaikki statusnya di Dunia Ketiga. Tetapi, sejak krisis
        ekonomi yang melanda rantau Asia, beberapa ribu projek
        penswastaan yang berbentuk mega telah dimiliknegarakan
        semula dengan kesannya yang memudaratkan pembayar cukai
        kerana kos yang bernilai puluhan billion ringgit banyaknya dan
        hutang bertapuk yang tidak terlangsai.

        Pada bulan Disember (2000) sahaja kerajaan telah menjanjikan
        7.8 bilion ringgit (USD2.1 bilion) untuk membeli balik dua syarikat
        aliran transit ringan yang mempnyai beban hutang yang berat;
        dan sebanyak 29% saham dalam Malaysian Airlines (MAS),
        syarikat penerbangan negara yang sedang nazak keadaan
        kewangannya. Usaha membeli balik itu walaupun sudah memang
        dijangkakan, telah mencetuskan satu kerisauan terhadap dasar
        penswastaan negara yang diadun mengikut acuan tersendiri. "Kini
        timbul satu anggapan yang jelas adalah bukan menjadi satu
        masalah untuk gagal menguruskan rojek yang besar-besar
        kerana kerajaan boleh dijadikan tempat bersandar." Demikian
        pendapat soerang ketua ekskutif sebuah syarikat yang besar.
        "Tidak perlu risau akan risikonya."

        Ramai pengkritik berpendapat bahawa usaha penswastaan
        kerajaan Malaysia itu bermula dengan langkah yang sumbang
        pada 1983 dulu. Terlalu banyak projek yang diberikan berasaskan
        pilihan politik tanpa saingan terbuka. Lagipun, sekitar 1990-an
        dulu, kaedah penilaian projek dilakukan dengan penuh kepalsuan.
        Kerja-kerja penaksiran sengaja digembar-gemburkan, selari
        dengan kemudahan kredit bank yang dipermudahkan.

        Ketika krisis sekonomi memuncak pada 1997, Kuala Lumpur
        berikrar untuk memperbaiki keadaan. Namun, kerajaan terus
        memberikan projek yang mewah dan berbentuk mega kepada
        syarikat yang mempunyai hubungan politik tetapi mempunyai
        pengalaman haprak dalam bisnes yang difaraidkan itu. Para
        pegawai yang bertanggungjawab masih lagi tidak mahu
        mendengar suara rakyat marhaen seperti yang pernah mereka
        janjikan.

        Contohnya ialah "SPLASH" yang merupakan syarikat yang
        pertama menerima satu projek mega sebaik sahaja krisis
        ekonomi itu reda. Syarikat ini mendapat satu konsessi yang
        bertempoh 30 tahun lamanya untuk menguruskan dan membina
        dua loji merawat air dan sebuah empangan di Sungai Selangor
        untuk membekalkan air ke Lembah Kelang. Inilah kawasan
        industri yang paling luas di negara ini. Para pencinta alam telah
        menolak pembaziran yang bernilai 2.1 bilion ringgit ini. Mereka
        menentang projek itu kerana ia akan menenggelamkan 600
        hektar kawasan lembah yang terkenal kerana kemudahan berakit
        di air tawar dan satu kawasan semula jadi yang sungguh indah.
        Projek itu diteruskan juga tanpa sebarang tender dan diserahkan
        kepada seorang anak-didik Menteri Kewangan Daim Zainuddin.
        Kerja-kerja awal sudah pun dimulakan.

        Ramai rakyat Malaysia dan juga pelabur luar yang semakin resah
        memerhatikan perancangan negara yang selama ini mengikut
        selera Perdana Menteri mahathir Mohamad yang masih tidak
        berubah seperti yang dijanjikan oleh pihak yang berkuasa.
        Mereka semakin curiga melihatkan beberapa projek yang
        dianggap akan menjadi isu hangat di masa depan. Pemberian
        projek penswastaan dan usaha menyelamatakan para indivdu
        pilihan telah menjadi isu hangat di kalangan parti pembangkang
        pada pemilu 1999 dulu. Semua ini mula dipertikaikan oleh pelabur
        asing apakah Malaysia mempunyai wibawa sebagai tempat
        melabur dengan selamatnya.

        "Nampaknya sedikit sangat perubahan yang dilakukan dalam
        pengagihan projek untuk diswastakan," kata Yeoh Keat Seng,
        ketua Malaysiastreet.Com, sebuah syarikat penyelidikan
        pelaburan yang beroperasi secara "on-line". "Kerana itu ramai
        yang beranggapan memang tidak ada perubahan langsung" sejak
        berlakunya krisis kewangan Asian itu.

        Ketika ekonomi melonjak naik sepanjang dua dekad dulu, para
        pengkritik dasar penswastaan telah diam membisu kerana
        lonjakan ekonomi itu yang besar. Peniaga swasta telah diberikan
        kontrak untuk membina lebuhraya, pelabuhan, lapangan terbang,
        stadium, landasan system aliran ringan, dan jaringan telekom.
        Dengan tidak membabitkan diri membina projek itu semua,
        kerajaan mengumumkan betapa ia telah menjimatkan 7 bilion
        ringgit dalam bentuk kos operasi dan 132 bilion ringit dalam kos
        pembikinan sejak 1983. Inilah yang memudahkan Kuala Lumpur
        menurunkan cukai korporat sebanyak 28% daripada tahap 40%
        pada pertengahan 80-an dulu. Di samping itu, walaupun syarikat
        swasta merupakan 5% daripada jumlah syarikat yang tersenarai
        di bursa saham tempatan, sumbangan mereka kepada jumlah
        modal adalah sekitar 25%.

        Mungkin yang penting lagi, penswastaan adalah merupakan satu
        alat yang difikirkan berkesan untuk mengagihkan kekayaan
        kepada bumiputra. Sebenarnya bumiputra pilihan yang menerima
        hadiah yang besar-besar itu mungkin mempunyai hubungan yang
        kuat dengan UMNO. Tetapi itulah caranya Kuala Lumpur mencipta
        satu "Kelas" perdagangan dan industri yang setara dengan rakan
        Cina mereka yang memang sudah lama berada di kelas itu.
        Seperti yang pernah diulang-ulang oleh Daim, itulah caranya
        untuk mencipta "Para bilioner Melayu yang mampu bersaing
        bukan saja dengan kaum Cina malahan juga di pentas dunia."

        Mengharapkan Kepada Kerajaan

        Tetapi, bebrapa peniaga berpendapat bahawa dasar kerajaan itu
        adalah tiket segara untuk menjadi kaya raya. Syarikat-syarikat
        yang mencadangkan projek prasarana yang besar-besar, tetapi
        mempunyai pandangan akan kejayaan itu yang masih samar,
        sanggup mengusahakan kemudahan kewangan bagi kerja-kerja
        pembinaan dengan tujuan meraih keuntungan. Mereka berusaha
        mendapatkan pinjaman janga pendek untuk projek jangka
        panjang dengan menggunakan saham syarikat sebagai kolateral
        ataupun cagaran. Mereka usahakan juga pembangunan hartanah
        sebagai satu ubat kepada segala penyakit dengan mengharapkan
        kerajaan memberikan tanah secara percuma sebagai ganjaran
        membuat pembangunan lain seperti jambatan sebagai
        contohnya. Para konsumer yang dipasak dengan putaran minda
        bahawa penswastaan adalah bertujuan meningkatkan
        kecekapan, jarang sangat memahaminya kerana tidak pernah
        melihat kesannya yang dikatakan berakhir dengan penurunan
        harga-harga.

        Apabila kemerosotan ekonomi semakin ketara bank-bank pun
        mula menarik balik kemudahan berhutang sehinggakan apa yang
        tertegak dengan megahnya, hampir tumbang serta merta.
        Terbeliaklah mata ramai perencana betapa kemudahan yang
        disuapkan kepada syarikat besar yang mengendalikan projek
        mega sebenarnya menidakkan mereka peluang untuk
        mempelajari cara menangani cabaran untuk membesar dengan
        berani. Itulah sebabnya, sebaik sahaja ekonomi merudum
        pertolongan kerajaan untuk memulihkan syarikat-syarikat pilihan
        ini terus datang berdentum.

        Pada 1998, Kuala Lumpur telah membayar sekurang-kurangnya
        200 juta ringgit kepada Ekran. Inilah syarikat yang pada mulanya
        diberikan projek empangan hidro bakun yang bernilai 12.6 bilion
        ringgit. Pembayaran itu "adalah bagi kerja-kerja yang sudah
        dilaksanakan" seperti yang telah dibentangkan di Dewan Parlimen.
        Pada bulan Disember, Petronas telah terlibat juga, untuk
        mengambilalih pembuat kereta negara Proton dan membayar
        DRB-Hicom, pemilik swastanya yang memerlukan duit, sebanyak
        981 juta ringgit.

        Kuala Lumpur juga telah membayar lebih 60 juta ringgit pada
        1999 kepada pemegang konsessi lebuhraya kerana kerja-kerja
        membina jalan bertol tetapi tidak mampu menarik kenderaan
        menggunakannya. Pada awal 2000, kerajaan persekutuan telah
        mengambil alih syarikat yang mengendalikan sistem saluran najis
        yang mempunyai hutang yang sungguh tinggi dan membayar
        hampir 200 juta. "Kami perlu membantu syarikat yang
        menghadapi masalah kerana kami yang memberikan lesen itu
        kepada mereka," demikian yang dijelaskan oleh Menteri
        Kerjaraya Samy Vellu.

        Kerja-kerja menyelamatkan projek tersebut, walaupun dihenyak
        alasan sosial dan moral, akan menaikkan lagi kos kerja
        penswastaan. Tentunya tindakan ini akan memberi bebanan yang
        lebih berat terhadap penyata kewangan kerajaan. Kos
        menyelamatkan MAS dan dua system transit ringan, adalah
        bersamaan dengan 8% daripada bajet (belanjawan) kerajaan
        persekutuan. Kebanyakan wang yang diperlukan ini terpaksa
        didapatkan dengan cara menjual bon kerajaan.

        Sebaliknya tidak ada seorang pun usahawan yang terlibat dalam
        proses penyelamatan ini yang didakwa ataupun diaibkan kerana
        kegagalan mereka. Contohnhya, orang-orang yang membina
        system rel transit ringan pada asalnya dan dibantu pula setelah
        kerugian, masih lagi merupakan kumpulan yang dicadangkan
        untuk menguruskan usaha itu. Syarikat Tajuddin Ramli (MHS
        kemudiannya Naluri - penterjemah) yang membeli saham MAS
        dulu dengan harga 8 ringgit sesaham pada tahun 1992, telah
        dibayar dengan harga yang sama pada tahun 2000 untuk
        melepaskan saham itu, atas nama "kesaksamaan". Tindakan ini
        dianggap oleh para analis sebagai satu tindakan yang tidak masuk
        akal. Kerajaan telah sengaja melupakan bayaran dividen yang
        dikeluarkan ketika MAS meraih keuntungan. Begitu juga dengan
        kerugian MAS sebanyak lebih satu billion ringgit di antara 1998
        hingga 2000, hutang bertapuk sebanyak 8 bilion ringgit dan harga
        saham masakini sekitar 3 ringgit.

        Tindakan menyelamatkan MAS itu telah mencetuskan sanggahan
        yang meluas sehingga disiarkan oleh media tempatan yang
        selama ini memang mudah bersikap dingin. Kesannya, kerajaan
        terpaksa bersikap "bertahan" seperti yang dinyatakan oleh Jomo
        Sundram seorang pakar ekonomi dan pengkritik keras
        penswastaan. Dia fikir perkara ini adalah satu kemajuan yang
        penting. "Mereka sudah sedar kini bahawa dasar lintang-pukang
        akan terus ditentang," katanya. "Kerajaan terpaksa lebih
        berhati-hati."

        Menteri-menteri kerajaan pun mulalah bersuara lantang bahawa
        mereka akan lebih "berhati-hati" dalam pemberian projek di masa
        akan datang. Pada Disember lalu, seorang pegawai kanan
        kerajaan telah memberitahu REVIEW betapa kerajaan sudah
        menggantung beberapa projek yang sepatutnya sudah diagihkan.
        Ini termasuklah satu projek IT yang terpaksa diperam dulu
        kerana kritikan rakyat marhaen.

        Sehingga kini, masih tidak banyak perubahan yang dapat dilihat.
        Beberapa projek penswastaan yang terbaru masih tidak juga ada
        ketelusannya. Pada bulan Oktober, sebuah syarikat yang tidak
        dikenali ramai, Diligent Network, telah diberikan satu projek
        bernilai 1 bilion ringgit untuk membekalkan komputer kepada
        semua hospital kerajaan. Pada akhir Disember, Menteri Kerjaraya
        Samy Vellu telah mengumumkan nama tiga syarikat yang diberi
        kontrak menyelia jalanraya. Salah satu syarikat itu tidak pun
        pernah didengar namanya sebelum ini.

        Para analis mentaksirkan, untuk tempoh sepuluh (10) tahun yang
        akan datang, projek yang akan diagih-agihkan itu bernilai lebih 70
        bilion ringgit banyaknya. Dalam soal penswastaan itu, Malaysia
        akan terus melakar masa depannya dengan segala keangkuhan
        yang terdaya.
 

        -S. Jayasankaran-
        The Review, 25 January 2001

                >>>>>>>>>>>>>>MT<<<<<<<<<<<<<<