"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
Syed Husin cabar Ketua Polis Perak buktikan tuduhan 'pelampau'

PETALING JAYA, Sept 9 (Hrkh) - Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali mencabar Ketua Polis Perak Datuk Syed Abdul Rahman Abdul Kadir untuk membuktikan tuduhannya semalam ke atas beberapa badan bukan-kerajaan (NGO) yang kononnya sedang "berusaha mempengaruhi rakyat untuk menentang kerajaan."

"Jikalau tidak beliau harus menarik balik tuduhannya dan meminta maaf secara terbuka kepada rakyat," kata Dr Syed Husin.

Syed Abdul Rahman semalam dilaporkan sebagai berkata polis sedang memantau pergerakan kumpulan tersebut dan mengugut akan menggunakan undang-undang darurat bagi mengenakan perintah berkurung sekiranya ada pihak "mencabar" pihak polis dengan mengadakan ceramah tanpa permit.

Dalam satu kenyataan hari ini, Dr Syed Husin membidas Syed Abdul Rahman dan mencabarnya "menerangkan dengan terbuka" nama 11 kumpulan yang dituduh, serta memberi alasan lengkap mengapa mereka dianggap sebagai "pelampau".

"Kami berharap beliau tidak cuba bersembunyi di sebalik tuduhan yang samar-samar," katanya.

Beliau berkata, sebagai negara yang mengaku mengamalkan demokrasi, adalah menjadi hak rakyat untuk mempertikaikan atau menentang kerajaan.

"Bahkan mereka berhak juga mempengaruhi rakyat lain berbuat demikian juga," tambahnya.

"Jangan berlagak"

Syed Husin menyifatkan sebagai "sangat bebal" untuk menyuruh setiap orang yang hendak menentang kerajaan supaya masuk bertanding dalam pilihanraya.

Syed Husin juga mengingatkan pegawai polis jangan cuba berlagak sebagai sesetengah pemimpin pemerintah, "yang selalu menggertak dan mengugut rakyat."

"Tugas mereka ialah untuk menjaga keamanan dan ketenteraman secara profesional berlandaskan lunas-lunas Perlembagaan dan undang-undang negara... jangan meniru sesetengah pemimpin politik yang cepat sangat menuduh bahawa siapa saja yang menentang kerajaan adalah seperti Ma'unah atau komunis," katanya, merujuk kepada tuduhan yang dilemparkan oleh presiden UMNO Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini dalam ucapan rasmi perdana menteri sempena Hari Kemerdekaan ke-43.

Beliau menambah, pihak polis mesti faham bahawa ceramah diadakan tanpa permit kerana polis kini sering mencabul hak asasi manusia dengan enggan mengeluarkan permit tanpa alasan yang munasabah.

"Bahkan selalu berlaku polis memberitahu keputusan mereka tentang permit ini pada saat paling akhir sehingga tidak ada masa bagi penganjur membatalkannya. Sekarang ini pihak polis kelihatan lebih sering hanya mengikut perintah tuan politik mereka yang berkepentingan sendiri."