"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
PM tidak jawab dua surat Kerajaan Negeri
ikhsan :Tranung.tripod.com

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa beliau telah menulis surat dua kali kepada Perdana Menteri meminta mengadakan pertemuan. Dalam ucapan menggulung perbahasan ucapan belanjawan beliau menjelaskan usaha-usahanya untuk mengadakan hubungan yang baik dengan Kerajaan Pusat.

Pembangkang di Dewan membangkitkan tentang tiada kesungguhan Kerajaan Negeri sekarang untuk mengadakan hubungan baik dengan Kerajaan Pusat. Menteri Besar menjelaskan bahawa kedua suratnya itu hingga ini tidak berjawab. Bagaimanapun beliau sempat juga bertemu dengan Perdana Menteri secara kebetulan dalam majlis yang mereka sama-sama hadir. Dalam pertemuan seperti itu yang dihadiri sama oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nikmat, mereka bercakap tentang menyegerakan bayaran geran perkapita kepada Kerajaan Kelantan yang wajib ditunaikan segera oleh Kerajaan Pusat.

Perdana Menteri memberitahu Tuan Guru Nik Abdul Aziz supaya meminjam dari Kerajaan Terengganu kerana Terengganu mendapat banyak wang dari royalti petroleum. Tuan Guru Haji Abdul Hadi menyatakan beliau mencelah bahawa Terengganu banyak hutang. "Jawab Perdana Menteri, ‘hutang mesti bayar’," kata Tuan Guru. Menteri Besar memberitahu Dewan bahawa beliau tidak menyangka langsung Kerajaan Pusat boleh menyekat bayaran royalti memandangkan cakap-cakap dalam pertemuan tidak rasmi.

Dalam pertemuan itu Perdana Menteri menyebut bahawa dari kenaikan harga minyak ketika itu dianggarkan royalti yang Terengganu akan dapat untuk tahun 2000 sekitar RM800 juta. "Di hadapan lain-lain Menteri Besar, Perdana Menteri menyebut bahawa itu adalah hak Terengganu kerana telaga minyak ada di Terengganu," katanya. Tuan Guru Haji Abdul Hadi, tidak tahu apa yang terjadi, mungkin karenah Kementerian Kewangan.

Setelah royalti dirampas beliau dan beberapa pemimpin Kerajaan Negeri telah mengadakan pertemuan dengan PETRONAS. PETRONAS mengakui bahawa royalti itu adalah hak Terengganu. Beliau menyatakan kebimbangannya bahawa kemungkinan selepas ini pegawai-pegawai PETRONAS yang bersimpati dengan Kerajaan Terengganu itu akan ditukarkan. Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga memberitahu tentang simpati berbagai pihak termasuk pegawai kerajaan terhadap Kerajaan Negeri dalam isu tersebut.

Dalam demonstrasi aman yang diadakan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) ketika menghantar memorandum kepada Menteri Kewangan, beliau diberitahu bahawa ramai pegawai-pegawai Kerajaan turun melihat rombongan itu yang diadakan di kawasan kompleks jabatan-jabatan kerajaan. Dewan juga diberitahu tentang dialog akademik atas isu itu diadakan di Universiti Kebangsaan yang dihadiri oleh wakil semua universiti. Dailog itu telah mengeluarkan resolusi memihak kepada Kerajaan dan Rakyat Terengganu.

Dalam hubungan dengan Kerajaan Pusat, Menteri Besar berkata, ada kementerian yang menunjukkan sikap berbaik-baik dan ada juga kementerian yang tidak menunjukkan sikap berbaik-baik. Contoh kementerian yang tidak baik itu Kementerian Perumahan. Ia mengadakan pertemuan dengan negeri-negeri. Terengganu dan Kelantan dijadualkan hadir. Tetapi menjelang pertemuan itu kedua-dua Kelantan dan Terenggau diberitahu supaya tidak payah datang.

Mengenai telaga minyak yang baru Tuan Guru memberitahu bahawa beliau tidak pernah berkata sudah jumpa telaga minyak di Besut dan Dungun. Tetapi yang beliau kata ialah ada tanda-tanda ada minyak dan boleh dicari. "Kalau di darat mengikut kaedah dan hujah Kerajaan Pusat itu hak kita, maka kita akan usahakan sendiri," katanya.