LAMAN NTZALIM
"Laman pro-Reformasi Anti Kezaliman"
APAKAH MUSLIHATNYA?
Bersama-sama Kita Saksikan.

Kita merasakan sesuatu akan berlaku esok sebagai memenuhi 'koleksi bahan sejarah' negara kita sempena tarikh yang ditunggu-tunggu oleh semua pencinta kebenaran dan keadilan serta pejuang hak-hak asasi manusia seluruh dunia.

Sementalahan rakyat Malaysia mengikuti perkembangan dan perjalanan kes DSAI dengan penuh debaran, tidak terkecuali mereka di luar negara juga menaruh simpati secara individu terhadap DSAI dan juga harapan kepada Badan Perundangan dan Kehakiman Negara untuk berlaku adil dan saksama di dalam menjatuhkan suatu hukuman.

Apapun tidak dinafikan rakyat Malaysia di kalangan mereka yang mengikuti perjalanan kes ini dari awal, sudah seakan dapat menduga keputusan yang dijatuhkan esok iaitu 'BERSALAH'. Namun begitu sebagai rakyat yang menghormati dan patuh kepada undang-undang negara, mereka tetap meletakkan sekurang-kurangnya sedikit harapan agar DSAI mendapat KEBEBASAN. Mudah-mudahan!

Sungguhpun demikian rakyat sendiri sudah pasti membuat analisa, kajian di atas kemungkinan-kemungkinan tertentu yang dijangka akan berlaku sekiranya DSAI dijatuhi hukum 'Bersalah'. Samada ianya benar atau sebaliknya adalah menjadi hak rakyat untuk menentu dan memikirkannya. Rakyat kini bukanlah rakyat yang jumud, beku dan tidak mahu berfikir. Mereka mempunyai daya pemikiran yang cukup matang dan tidak adil sekiranya menganggap bahkan menuduh rakyat seperti 'budak-budak' (seperti yang dinyatakan oleh Radzi Sheikh Fadzir).

Sekiranya kita maneliti dan memerhati dari awal 'Reformasi' itu tercetus dan bermula, kita akan dapat lihat bahawa kematangan pemikiran rakyat telah mengatasi kematangan pemikiran pimpinan BN yang memerintah di dalam apa jua isu yang timbul di sepanjang sejarah reformasi negara. Buktinya dapat dilihat hasil dari pandangan, ramalan, kajian dan penelitian rakyat yang termuat di dada-dada Laman Web Pro-Reformasi. Sampai ke suatu tahap bahawa laporan-laporan yang terpapar melalui ruang siber itu adalah lebih tinggi nilainya, lebih dipercayai dari media perdana cetak dan elektronik. Sebagi bukti yang terakhir adalah episod rampasan senjata di Sauk yang berakhir dengan penyerahan diri para perampas sehinggalah ditahan di bawah ISA itu telah terpapar melalui ruang siber sehari atau dua hari sebelum ianya benar-benar berlaku. Persoalannya sekarang, apakah kerajaan cuba juga untuk menafikan kematangan rakyat lantaran itu berterusan membohongi dan menfitnah mereka??

Berbalik kepada Tarikh Baru Kes DSAI, apakah muslihat disebalik penangguhan itu? Tidak perlu diulas lagi sebab telahpun mendapat liputan yang luas oleh para natters di laman-laman proreformasi negara sebelum ini.Cuma yang kita ingin saksikan adalah kebenarannya !

Apakah benar-benar telah hancur musnah Badan dan Sistem Kehakiman Negara ataupun masih wujud lagi sedikit benih-benih keadilan dan kebenaran yang menunjangi prinsip badan itu.Di sinilah cabaran kepada para pengamal undang-undang negara samada terus membiarkan diri diperalatkan oleh kuasa Esekutif yang dihina rakyat atau ingin memulihkan kembali fungsinya sebagai pembela dan penegak kepada keadilan dan kebenaran.

Kalau cabaran ini tidak disambut dan disahut dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara, maka usah dikesalkan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku mendatang. Dengan erti kata, apa yang berlaku hari ini sudah pasti akan menjadi ikutan dan 'refference' generasi akan datang bagaimana kuasa kehakiman dirampas dan dapat dijadikan sebagai alat pelindung kepada pesalah dan penzalim di kalangan pemimpin.

Sebagai pemangkin kepada kebangkitan rakyat di dalam peubahan yang dicita-citakan, ayuh kita langkahkan kaki kita bersama ke Mahkamah esok bagi menyaksikan sendiri Peristiwa Sejarah ini dan bakal menjadi iktibar kepada generasi mendatang. Nama anda di kalangan ribuan pejuang kebenaran dan keadilan negara abad ke 21. InsyaAllah.

BERHATI-HATI DENGAN AGEN PROVOKASI, BERHIMPUNLAH SECARA AMAN.

ntzalim
7 Ogos 2000
http://izzrail.tripod.com