"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
MB Pahang letak jawatan? -- Kedudukannya menjadi tanda tanya berikutan spekulasi di negeri itu
(dipetik dari UTUSAn ON-LINE)

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Kedudukan Datuk Seri Adnan Yaakob sebagai Menteri Besar Pahang kini menjadi tanda tanya berikutan spekulasi yang tersebar luas di negeri itu menyatakan beliau akan meletakkan jawatan.

Beliau dilantik ke jawatan itu menggantikan Tan Sri Khalil Yaakob Mei tahun lalu.

Sumber-sumber memberitahu Utusan hari ini, Adnan mungkin dilantik sebagai senator bagi membolehkannya menganggotai barisan kabinet.

Keadaan yang sama sebelum ini berlaku terhadap Khalil yang melepaskan jawatan Menteri Besar sebelum dilantik sebagai senator dan kemudian menganggotai kabinet sebagai Menteri Penerangan.

Sekiranya spekulasi itu menjadi kenyataan, Adnan merupakan Menteri Besar Pahang yang paling singkat memegang jawatan itu.

Spekulasi mengenai kedudukan Adnan itu timbul ekoran peletakan jawatan Datuk Seri Abu Hassan Omar sebagai Menteri Besar Selangor bulan lalu dan desas-desus mengenai tindakan yang sama oleh Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad akhir-akhir ini.

Satu sumber lain yang turut mengakui perkembangan tersebut bagaimanapun memberitahu, Adnan mungkin tidak akan meletak jawatan dalam tempoh terdekat ini.

Adnan gagal dihubungi untuk mendapatkan reaksinya mengenai desas- desus itu kerana berada di luar negara.

Spekulasi mengenai kedudukannya sebagai Menteri Besar mula diperkatakan apabila beliau tidak dilantik semula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang selepas Perhimpunan Agung, Mei lalu.

Sebaliknya jawatan itu diambil alih semula oleh Khalil yang merupakan bekas pengerusinya semasa memegang jawatan Menteri Besar.
 

Sumber-sumber juga menyebut, Adnan dikatakan mempunyai masalah dengan beberapa ketua bahagian UMNO di Pahang sehingga menyebabkan berlaku kesukaran mencapai persetujuan membabitkan beberapa perkara penting.

Penyusunan semula jawatan-jawatan tertentu dalam Badan Perhubungan UMNO negeri itu dikatakan tidak dapat dilakukan ekoran masalah tersebut.

Adnan juga turut dikaitkan dengan beberapa isu pentadbiran kerajaan negeri, termasuk soal pemberian kawasan pembalakan di Pahang kepada pihak istana.

Selain itu, sumber berkenaan juga memberitahu, prestasi Adnan yang kurang menyerlah semasa pilihan raya umum November tahun lalu, sebagai punca mengapa beliau tidak dikekalkan sebagai pengerusi perhubungan negeri.

Pilihan raya umum lalu menyaksikan UMNO Pahang kehilangan paling banyak kerusi dalam sejarahnya kepada parti pembangkang.

Tujuh daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang yang sebelum ini menjadi milik UMNO, berjaya ditawan oleh pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Enam daripada kerusi itu dimenangi oleh Pas manakala Parti Keadilan Nasional dan DAP masing-masing mendapat satu kerusi.



nota WMaster,
Mengikut maklumat dari sumber tertentu berita ini mempunyai asas kebenarannya berikutan segala tindak tanduk dan perilakum Adnan sebagai MB dari semenjak di lantik menggantikan Khalil Yaakub. Penyalahgunaan kuasa seringkali menjadi mainan Adnan dan banyak tindakannya dipengaruhi oleh nafsu politik yang tidak bertepinya, dari soal campurtangan pentadbiran Majlis Ugama Islam Negeri dengan menghalang aktiviti umat islam di mesjid, isyarat lucah dan kerektor gangster dan yang terakhir menjadikan DUN Pahang sebagai kambing hitam politik kejinya.

Tunggu dan saksikan apa yang akan berlaku seterusnya.....mungkinkah beliau akan menjejaki langkah Pak Uban di Selangor seiring dengan Isa Samad di N.Sembilan buat masa terdekat nanti?