"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
Pedas-Pedas Cili Api 141

(23hb Ogos 2000)

Antara Pungut Sampah Dengan Mandi Darah

Esok Dr Mohamad Khir bin Toyo akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baru. Lepas
itu rasmilah beliau sebagai pemegang jawatan pentadbir tertinggi dalam sebuah negeri yang kaya dan maju. Beliau
sungguh bernasib baik kerana berjaya naik begitu tinggi dalam masa begitu singkat tanpa banyak usaha atau
korban. Cili Api ingin mengucapkan tahniah kepadanya.

Begitu banyak yang telah diceritakan oleh media tentang kesulitan hidup yang dilalui oleh keluarga Toyo
(sebenarnya Tojo) dan oleh Khir sendiri. Kita diberitahu, semasa menuntut di universiti dan sudah berkeluarga,
Khir terpaksa membuat bermacam-macam kerja untuk menyara hidup. Antaranya ialah dengan memungut surat
khabar lama untuk dijual. Di Utusan Melayu  dia sampai mendapat gelaran  “budak sampah”.

Cili Api merasa terharu. Keluarga Toyo ini keluarga Melayu juga (walaupun keturunan Jawa). Mereka hidup
susah. Apakah keistimewaan yang pernah diperolehi mereka? Dulu dan sekarang? Tentang Khir pula,  dia juga
anak Melayu. Mengapa terpaksa menjadi “budak sampah” untuk terus belajar di universiti? Inikah keistimewaan
baginya? Apakah yang dilakukan oleh akhbar Utusan, pejuang gagah “hak istimewa Melayu” untuk membantu
beliau mengecap keistimewaan itu?

Cili Api harap, setelah berkedudukan istimewa sebagai MB, Khir tidak akan lupa kepada orang miskin, terutama
sekali Melayu, yang pada nama saja konon mempunyai kedudukan istimewa, tapi “sampah pun tarak”.

Satu dua hari selepas diumumkan sebagai bakal MB, banyaklah Khir ditemu bual oleh media. Dia ditanya tentang
sikapnya mengenai “hak istimewa” (dalam Perlembagaan Persekutuan tidak disebut tentang “hak istimewa”, cuma
“kedudukan istimewa” orang Melayu dan Bumiputera Sabah/Sarawak). Apa katanya? Lebih kurang begini. “Saya
sanggup mempertahankan hak istimewa ini walaupun dengan bermandi darah!”

Cukup hebat. Saya setuju kedudukan istimewa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu
dipertahankan. Tapi bila seorang bakal MB bercakap bongkak dengan berkata ia sanggup bermandi darah, itu
sudah keterlaluan bahkan tidak bertanggungjawab. Adakah Khir mahu menonjolkan imej yang suka melihat darah
mengalir akibat membakar api perkauman?

Khir tidak lagi memberi penjelasan tentang perkara ini. Adakah media tidak tepat melaporkan  beliau? Jikalau
laporan itu betul, bilakah  beliau akan meminta maaf? Janganlah terbawa-bawa seperti sesetengah pemimpin
Selangor yang membakar api perkauman pada tahun 1987, dan sekarang ini cuba hendak berlagak serupa dalam
tahun 2000.  Tunjuklah dari hari pertama beliau berbeza dan akan menjadi MB yang bertanggungjawab kepada
semua kaum dalam negeri Selangor.

Akhir sekali, sekarang ini Khir merupakan MB termuda. PM Dr M @ Cek Det berkata Khir mempunyai
kelayakan dan bersih. Lagi pula, Cek Det kata dia mahu memberi peluang kepada orang muda. Mengikutnya, ini
bukan perkara baru. Bahkan beliau pernah dulu memberi peluang kepada orang muda menjadi MB di Melaka,
Negeri Sembilan dan Perak. Tetapi, Cili Api ingin tanya Cek Det, apa jadi kepada mereka? Semuanya menjadi
korup, bahkan ada yang menjadi perogol.

Cili Api harap ini akan menjadi ingatan kepada Khir. Bak kata pepatah, “kuasa menjadikan orang korup”. Jikalau
Khir sekarang ini dilihat sebagai seorang yang bersih, beliau mesti mempertahankan kebersihan ini sampai tamat
khidmatnya. Ini satu cabaran yang besar. Rasulullah pernah bersabda, “perang yang paling besar sekali ialah
perang melawan hawa nafsu”. Orang muda lebih mudah tersungkur apabila dicabar dengan ujian nafsu.
Jaga-jagalah wahai Khir.

Cili Api ucapkan Selamat Bertugas kepada Menteri Besar Dr Mohamad Khir bin Toyo.

Cili Api