"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
Tajudin Dibailout? MAS 'Anak Emas' Mahathir?

KITA sudah dengar bagaimana syarikat korporat seperti Renong dan Konsortium Perkapalan diselamatkan oleh pihak kerajaan tatkala syarikat itu dalam kesulitan kewangan. Habis wang Petronas alias wang rakyat digunakan untuk memberi nafas baru kepada badan korporat itu. Berbilion ringgit dari Petronas digunakan. Kali ini syarikat MAS pula.

Satu ketika dulu sekitar tahun 1994, nama Tajudin Ramli meletup di sebuah majalah antarabangsa yang memaparkan diri beliau sebagai salah seorang bilioner Melayu. Mahathir Mohamad dalam satu perhimpunan agung Umno turut meluahkan rasa bangganya kerana sekurang-kurangnya ada juga anak Malaysia telah berjaya mengukir nama di persada ekonomi antarabangsa.

Pentadbiran negara di bawah kepimpimpinan Mahathir dikira telah berjaya melahirkan segelintir bilioner Melayu dengan itu kita tidak harus beriri hati mahupun berdengki terhadap kehadiran mereka. Kelahiran bilioner Melayu daripada kalangan suku kaum Melayu dikira satu tanda kecapaian besar dalam pembangunan negara.

Sesetengah pihak tidak setuju dengan cara Tajudin sampai ke tahap bilioner. Mereka menanggapi Tajudin lebih didokong kuat oleh elit pemerintah dan bukan kerana hasil kerja keras dan pengalaman pahitnya sendiri dalam bidang pengkorporatan. Taraf bilioner tidak lagi melekat pada sosok Tajudin lagi kerana MAS atau Sistem Penerbangan Malaysia sedang dirundung kesulitan kewangan teruk.

Tajudin mempunyai 29 peratus ekuiti dalam struktur pemilikan MAS. 44 peratus ekuiti yang lain dimiliki oleh syarikat Naluri Bhd yang juga dalam penguasaanTajudin sementara sejumlah 17 peratus ekuiti lagi dimiliki oleh syarikat asing dan Agensi Pelaburan Brunei memiliki sekitar 9 peratus ekuiti.

Tajudin mula cemerlang dalam bidang korporat pada tahun 1988 apabila beliau mendapat operasi selular yang sebelum ini dimiliki oleh Telekom Malaysia Bhd. Bertolak dari situ dan melalui syarikat Technology Resources Industries Bhd beliau telah menjadi pembekal telefon selular terbesar di negara.

Tajudin mantan seorang ahli bank saudagar dan merupakan anak buah kesayangan Daim Zainuddin telah berjaya memperluaskan empayarnya dengan memiliki sebahagian ekuiti MAS dengan harga RM 1.79 bilion dengan bantuan pinjaman daripada Bank Negara pada pertengahan tahun 1994.

Pada zaman lewat tahun 1980-an sehingga pertengahan tahun 1990-an adalah zaman yang dikira negara kita dan rantau Asia umumnya bernasib baik kerana banyak kemudahan kredit tersedia ada. Kesempatan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh banyak pihak. Wang panas pun banyak masuk mengalir dalam negara dari Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah.

Dasar penswastaan yang diperkenalkan Mahathir pada era itu bagaikan menjanjikan satu kaedah memangkinkan lagi proses pembangunan negara. Sesiapa yang tergoda dengan kemudahan kredit itu mengambil pinjaman besar-besaran dengan sangkaan bahawa aliran atau trend meminjam wang dari bank komersil akan berkekalan setidak-tidaknya untuk satu jangka waktu yang panjang yakni sempatlah untuk meraih keuntungan besar dalam tempoh yang singkat.

Keinsafan yang "berakit-rakit dahulu dan berenang-renang kemudian" tidak dipengang dengan kuat lagi. Zaman itu digelar juga zaman "keajaiban Asia". Keajaiban Asia meminggirkan peringatan bahawa aliran yang alih-alih begitu senang memperoleh pinjaman kredit lantas menjadi kaya bukanlah satu ciri ekonomi yang sihat.

Hampir semua peniaga yang adventurous terperangkap dengam keajaiban Asia dan amat susah untuk menasihat mereka ketika itu. Malang tidak berbau, pukulan krisis kewangan datang pada musim panas tahun 1997 dan semua hilang akal bagaimana krisis boleh datang tiba-tiba sahaja.

Keadaan bertambah buruk apabila disedar yang negara tidak memepunyai perisai untuk menangani serangan krisis itu. Ketika itu tiada kawalan modal. Ketika itu Malaysia mengamalkan dasar terbuka. Para peniaga lalu kena terhantuk yang maha besar kerana pinjaman wang harus dibayar bersama faedah adalah tanggungan yang berat.

MAS turut dipukul. Rencana MAS untuk mengembangkan operasi kargo dan penyajian (catering) secara agresif memburukkan keadaan kewangannnya. Nilai ringgit merosot sementara kos operasi meningkat. Pada tahun berakhir Mac 1999, MAS kerugian RM700 juta dan pada tahun 1998 MAS menanggung kerugian RM 259.8 juta. Jika tidak kerana program penjualan sebahagian pesawatnya MAS akan merakamkan kerugian yang lebih parah lagi. Perkhidmatan MAS sedang merosot dan banyak pihak telah meluahkan sentimen ini.

Syarikat Naluri Bhd. berhutang sebanyak RM900 juta. Tajudin mempunyai 44 peratus saham dalam syarikat ini. MAS juga berhutang sekitar RM1.03 juta dari bank. Hutang-hutang ini harus dijelaskan atau diservices. MAS dan syarikat milik Tajudin dalam kesulitan, ini hakikat yang berat untuk diterima.

Harga minyak kapal terbang kian meningkat dan faedah pinjaman pun meningkat dan keadaan ini sememangnya boleh boleh menggerutukan kedudukan Tajudin.

Bagaimana hendak mengatasi masalah ini? Negara mempunyai Petronas dan Khazanah Nasional Bhd sebagai penyelamat untuk membeli ekuiti MAS atau ekuiti MAS boleh dibeli oleh syarikat asing. Ketiga-tiga pilihan ini menjadi wajar jika MAS ingin pulih semula dan bersifat berdaya saing.

Bagaiamanpun para peneliti melihat dua perkara. Pertama mesti ada suntikan modal baru pada aset induknya dan kedua mesti ada satu rombakan pengurusan bagi menjaminkan imej MAS yang terjejas dapat dipulihkan semula pada masa akan datang.

Andainya MAS diselamatkan oleh pihak kerajaan maknanya menggunakan wang awam maka reformasi korporat tidak dilaksanakan. Profil risiko jangka panjang Malaysia boleh terjejas dan pelabur asing akan kurang berminat untuk datang ke negara. Setakat ini masih samar lagi bagaimana MAS akan dipulihkan.

Mungkin kerajaan akan meningkatkan lagi ekuiti asing ke tahap 30 atau 45 peratus. Ataupun bahagian ekuiti Tajudin akan dibeli dengan harga yang cukup baik dan Tajudin akan terlepas dari segala beban hutangnya. Apa-apapun tindakan-tindakan itu boleh sahaja ditakrifkan sebagai satu 'bailout'.



 Petikan Majalah FOKUS Editor Suria Janid