"Laman Reformasi Anti Kezaliman"

Kenyataan Media (19 OGOS 2000)
LEE KWAN YEW CAMPUR URUSAN
POLITIK MALAYSIA : MENGAPA WISMA PUTRA DIAM?


     Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) melahirkan rasa kesal di atas tindakan Menteri Kanan
     Singapura,Lee Kwan Yew yang memberikan satu pandangan negatif terhadap hubungan PAS dan DAP
     dalam satu temuramah bersama Berita Harian yang disiarkan oleh Berita Minggu 13 Ogos yang lalu. DPP
     Pusat melihat keceluparan Lee Kwan Yew ini adalah satu campur tangan asing dalam urusan politik
     negara ini yang secara terang-terangan beliau tidak ada hak memberikan pandangan.

     DPP Pusat sangat hairan Wisma Putra tidak memberikan sebarang respon terhadap kenyataan negatif
     Lee Kwan Yew ini sedangkan sebelum ini Menteri Luar sibuk mempertegaskan bahawa negara luar
     tidak berhak campur tangan dalam urusan dalaman negara ini. adakah apabila Amerika dan Australia
     mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim karajaan
     melihat sebagai campur tangan kerana ia jelas merugikan BN, dan kritikan Lee Kwan Yew pula bukan
     bukan campur tangan kerana ia menguntungkan BN? Perbuatan keji BN ini adalah satu persekongkolan
     haram dengan agen asing untuk memecahkan perpaduan rakyat di bawah payung BA.

     DPP Pusat mempertikaikan tindakan Pengurusi Berita Harian,Tan Sri Abdullah Ahmad yang mengetuai
     temu bual bersama Lee Kwan Yew kerana membangkitkan soalan-soalan yang berkaitan dengan urusan
     dalaman parti alternatif untuk diulas oleh orang asing. Perbuatan ini adalah berunsur hastan dan boleh
     memberikan kesan negatif kepada perpaduan rakyat negara ini. Berita Harian mesti bertanggungjawab
     atas perbuatan tidak bermoral dan berniat jahat mereka ini dan DPP Pusat mendesak KDN membuat
     siasatan di bawah Akta Hasutan serta mengambil tindakan ke atas Berita Harian.

     DPP Pusat juga mengutuk tindakan talam dua muka Wisma Putra yang menyambut meriah kehadiran
     Lee Kwan Yew ke Malaysia beberapa hari lau setelah Lee Kwan Yew secara biadap dan negatif
     mencampuri urusan pilitik dalaman negara ini. sebelum ini Wisma Putra sangat sensitif terhadap berita
     lawatan William Cohen, Setiausaha Pertahan AS ke Kuala Lumpur selepas Washington memberikan
     respon negatif terhadap Kuala Lumpur dalam kes Anwar Ibrahim. Sambutan ini adalah menggambarkan
     bahawa BN cuba memperalatkan masyarakat antarabangsa untuk kepentingan politik sempit mereka.

     DPP Pusat ingin memperingatkan kepada Kerajaan BN bahawa Lee Kwan Yew sudah beberapa kali
     mencampuri urusan dalaman negara ini termasuk isu meritokrasi, pencerobohan jet tentera, isu air dan
     sebagainya. Dia juga dituduh terlibat dalam konspirasi politik yang berlaku di Jakarta bersama perancang
     Yahudi Henry Kessingger. Ini menunjukan bahawa tindakan BN mempunyai motif politik yang kuat
     terutamanya untuk melemahkan perpaduan BA yang dilihat mengancam BN. BN perlu ingat bahawa
     sebarang usaha dangkal mereka tidak akan dilayan oleh rakyat kerana rakyat sudah hilang percaya
     kepada Umno/BN

     HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
     Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat