"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
    Lagi Kisah BPR

     Oleh Pena Suasa

     SEHARI dua ini, akhbar-akhbar pro pemerintah sibuk mengucapkan tahniah kepada Badan
     Pencegah Rasuah (BPR) kerana tangkapan dan pendakwaan terhadap Pegawai-pegawai JPJ
     dan orang tengah yang terlibat dalam mengeluarkan ‘lesen terbang’.

     Ketua pengarah BPR juga nampaknya terkehadapan dalam beberapa kenyataan di media
     massa kononnya ada lagi yang mahu ditahan dan sebagainya, menunjukkan seolah-olah BPR
     benar-benar serius membanteras rasuah di negara ini.

     Rakyat dibuaikan dengan cerita ini, yang mahu mengambarkan kononnya di Malaysia rasuah
     memang tidak akan subur.

     Jika rakyat masih ingat, 20 Julai lalu, BPR juga membuat serbuan dan tangkapan dalam ‘ops
     puspa’ terhadap tonto, pemeriksa kenderaan dari Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer
     (Puspakom). Seramai 88 tonto dan 36 pemeriksa kenderaan ditahan.

     Hebat sungguh. Lepas Puspakom, JPJ pula yang kena. BPR nampaknya serius dalam usaha
     membasmi rasuah.

     Tetapi, mengapa ‘ikan-ikan bilis’ sahaja? Bagaimana dengan siasatan terhadap Perwaja?
     Bagaimana dengan Tan Sri Eric Chia? Apakah BPR tidak tahu, Perwaja kerugian 10 billion (10
     ribu juta) dan mash mengumpul kerugian di bawah Equal Concept yang diterajui Maju
     Holding RM340 juta (sehingga 1998). Mengapa BPR tidak mampu menyiasat, menahan dan
     seterusnya mengadapkan orang-orang yang terlibat di mahkamah?

     Apakah ia melibatkan Perdana Menteri? Atau, Eric Chia memang kawan rapat Dato’ Seri Dr.
     Mahathir Mohamad yang menyebabkan BPR tidak ada kemampuan menyusahkan
     penyiasatan? Atau BPR memang tidak menyiasat kerana ‘ada arahan’ dari Perdana Menteri
     supaya tidak meneruskannya?

     Rakyat juga disajikan dengan kisah Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman yang mempunyai wang
     RM100,000 di laci pejabatnya ketika menjadi Ketua Pengarah EPU, Jabatan Perdana Menteri.
     Mengapakah Ketua Pengarah BPR ketika itu, Dato’ Shafiee Yahaya dihalang dari meneruskan
     siasatan ke atas wang tersebut?

     Rakyat Malaysia perlu bertanya diri masing-masing, sampai bilakah Barisan Nasional (BN)
     mesti diberi peluang memerintah negara?

     Rakyat Malaysia perlu bertanya kepada diri masing-masing, bila lagi mereka hendak
     memangkah BN dalam pilihan raya.

     Rakyat Malaysia perlu bertanya diri masing-masing… sampai bila mereka harus dipermainkan
     oleh media massa kebangsaan yang sentiasa membuai rakyat dengan cerita-cerita ‘khayalan’
     yang seolah-olah mengambarkan BPR hebat kerana bertindak ke atas JPJ, bertindak ke atas
     Puspakom dan bertindak ke atas ikan-ikan bilis?

     Hari ini, rakyat Malaysia boleh membaca media massa kebangsaan tetapi usah
     mempercayainya. Rakyat Malaysia yang menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke 43
     harus lebih matang, lebih tegas dan lebih faham permainan media massa yang di belakang
     mereka ada manusia bernama Zainuddin Maidin, Abdullah Ahmad (Kok Lanas) dan
     budak-budak hingusan yang mendabik dada kononnya menjadi wartawan dan editor.

     Rakyat Malaysia perlu membaca media massa kebangsaan kerana ada berita sukan. Media
     massa kebangsaan juga ada berita luar negeri tetapi jangan percaya apa yang mereka
     laporkan mengenai Indonesia. Mereka cuba menakut-nakutkan rakyat Malaysia, jika berani
     membuat perubahan, nantinya akan jadi seperti Indonesia, yang lebih sengsara dari zaman
     Suharto.

     Pengorbanan itu perlu dibayar dengan harga yang mahal. Biarlah rakyat Indonesia membayar
     sedikit harga kepada perjuangan mereka daripada membenarkan Suharto terus mengaut
     kekayaan negara dan menghidupkan nepostime dan kronisme.

     Bayarlah walau berapa harganya. Perubahan perlu dibuat di negara kita. Beritahu kepada
     Perdana Menteri; “CUKUPLAH, DR. MAHATHIR!”

    (PS).