"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
Piket: Kesatuan pekerja bagi tempoh 3 minggu

TUMPAT, 26 Sept (Hrkh) - Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPKTMB) Cawangan Kelantan memberi masa tiga minggu kepada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan bagi menyelesaikan tuntutan mereka.

Bagaimanapun sekiranya tiada penyelesaian dibuat, pihak kesatuan akan meneruskan piket secara aman selepas tempoh tersebut. Syarat tersebut juga ditetapkan Kementerian Kewangan untuk membolehkan perbincangan lanjut diadakan di antara kesatuan dan pihak-pihak terbabit. Pengerusi KPKTMB Cawangan Kelantan, Zukifli Abdullah berkata, pihak KPKTMB Kuala Lumpur mengarahkan supaya piket secara aman yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu lalu ditangguhkan buat sementara waktu. "Kami bukan ingin sangat mengadakan demontrasi atau piket tetapi disebabkan kami sebagai pekerja keretapi terlalu sangat diabai serta dianaktirikan pihak terbabit maka jalan penyelesaian terakhir mengadakan piket," katanya di sini. Di Kelantan terdapat kira-kira 300 ahli KPKTMB.

Mereka dijadualkan mengadakan piket pada 23 September lalu di Stesen Keretapi Tumpat, namun dibatalkan buat sementara waktu. Piket tersebut berpunca ekoran ahli-ahli kesatuan tidak berpuas hati terhadap tawaran penyelarasan gaji sebanyak tujuh peratus yang akan dibayar berkuatkuasa 1 Januari 2000, sedangkan kesatuan menuntut bayaran itu dibuat bermula 1 Januari 1998. Kesatuan menuntut faedah gaji yang lebih baik seperti yang dijanjikan semasa penswastaan KTMB pada tahun 1992 .

Zulkefli berkata, pihak kesatuan terkilan dengan Kementerian Kewangan yang mengabaikan pekerja-pekerja KTMB mendapat kenaikan gaji seperti dinikmati kakitangan kerajaan lain. "Kami hanya menuntut hak supaya diselaraskan gaji dengan kakitangan kerajaan yang lain," tambahnya. Beliau juga berkata, tuntutan kenaikkan gaji 11 peratus yang turut dibuat tidak ada kaitan dengan Renong Berhad kerana konglomerat itu hanya bertanggungjawab mengenai pengurusan dalaman sahaja, dan aspek kewangan masih di bawah Kementerian Kewangan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, satu sumber memberitahu masalah keretapi jatuh dari landasan dan terbalik kerap berlaku kebelakangan ini, ekoran sistem mengesan kerosakan landasan yang menggunakan teknologi moden belum mampu mengatasi sistem menggunakan tenaga manusia seperti yang diamalkan sebelum ini. Katanya, kaedah mengesan kerosakan landasan menggunakan teknologi moden belum mampu kaedah manual yang digunakan sejak sekian lama. "Alat moden hanya mampu mengesan pada bahagian tertentu sahaja dan tidak menyeluruh seperti yang diamalkan sebelum ini. "Tenaga manusia yang digunakan sebelum ini mampu mengesan kerosakan di bahagian - bahagian lain termasuk paku rel yang longgar," katanya.

Menurutnya, setelah perkhidmatan keretapi diswastakan pada 1992, pengurusan baru menamatkan kakitangan-kakitangan yang bekerja mengesan kerosakan landasan bagi menjimat kos operasi. Menurut sumber itu, biarpun kos dapat dijimatkan, namun kerja-kerja mengesan kerosakan landasan belum dapat dilakukan dengan sempurna. Comments ? E-mail Us