"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
Gelagat kerajaan era k-ekonomi dan MSC

Oleh : Fathi Aris Omar

Kerajaan Umno sebenarnya sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Ia cub berlakon masih hidup dan bernyawa dalam era teknologi maklumat tanpa batasan itu dan ekonomi pengetahuan yang berasaskan kreativiti akal manusia.

Kerajaan berlagak begitu kerana tertekan oleh persekitaran ampu-bodek Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang dilihat lebih berwawasan daripada anggota jemaah menterinya. Setiap kali pemimpin nombor satu mengemukakan gagasan, atau lebih tepat ungkapan sebagai slogan, maka berbondong-bondonglah juak-juaknya membuntutinya.

Hujung tahun 1995, ketika dunia sibuk membicarakan kesan besar teknologi komputer berangkaian di peringkat antarabangsa atau ringkasnya 'internet' (international network), maka Koridor Raya Multimedia (MSC) dilancarkan.

Ramai pula juak Dr Mahathir mengagung-agungkan idea hebat lagi berwawasan itu. Walau konsep MSC itu ada cacatnya, kecacatan itu tidak dilaporkan tetapi kata-kata pujaan disebarkan ke serata ceruk negara.

Begitu juga apabila Dr Mahathir bercakap tentang ‘k-ekonomi’, maka gatal pula juak-juaknya bercakap tentang k-ekonomi. Pembangkang sendiri turut terpengaruh dengan istilah dan slogan cetek kerajaan itu.

Tanpa mengetahui hujung-pangkal konsep, tanpa memahami gejala dan ciri-cir dunia baru itu, orang ramai - khususnya pengkagum Dr Mahathir - cuba memasukkan beberapa ungkapan baru ini dalam ucapan mereka.

Malangnya tindakan, gelagat dan mentaliti mereka langsung tidak tercerna oleh kedatangan dunia baru yang disebut IT (teknologi maklumat) atau k-ekonomi itu.

Antara debat utama tentang teknologi maklumat dan k-ekonomi ialah keupayaan akal manusia mengatasi tulang empat keratnya (brain over brawn). Gejala ini disebut juga gelombang ketiga ekonomi selepas kedatangan revolusi industri dan ekonomi berasaskan pertanian (gelombang pertama).

Konsep modal manusia

Berbeza asas ekonomi dalam dua gelombang sebelumnya, k-ekonomi bergerak atas dasar ‘modal manusia’ atau human capital. Modal baru ini bermakna keupayaan manusia menggunakan daya inteleknya untuk menjana produktiviti dan menambah nilai dalam rantaian ekonomi.

Bagaimanapun, seperti telah diberikan amaran oleh penganalisis trend sejagat dan juga pengkaji masa depan (futurist), musuh utama perkembangan k-ekonomi dan teknologi maklumat ialah kongkongan terhadap keupayaan akal manusia dan juga tapisan terhadap maklumat.

Kongkongan akal dan tapisan maklumat inilah yang disuarakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung minggu lepas dan Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan Datuk Zainuddin Maidin semalam.

Kedua-duanya mengeluarkan pelbagai alasan untuk melarang malaysiakini daripada membuat liputan majlis rasmi kerajaan. Hairan, kerajaan tidak memerlukan media untuk melaporkan kenyataan-kenyataan rasmi yang sepatutnya disebar-luaskan kepada orang ramai. Apa yang hendak ditakutkan oleh menteri atau pegawai kanan kerajaan? Lagipun, semua maklumat itu terbuka untuk pengetahuan umum.

Begitu juga sikap media arus perdana dalam tempoh seminggu lepas yang memberikan gambaran negatif terhadap akhbar web ini. Percubaan itu bukannya sikap yang serasi dengan perkembangan k-ekonomi atau kemajuan IT.

Jika Dr Mahathir boleh dianggap seorang pemuka kempen cintai IT atau pendukung k-ekonomi di negara ini, Chor dan Zainuddin sewajarnya tidak lagi berada dalam jemaah menterinya.

Bagaimanapun malangnya, Dr Mahathir bukanlah tokoh seperti itu. Kita lihat kecacatan mindanya apabila mengkonsepkan MSC. Bagi dirinya, konsep itu dikurung dalam sebuah kawasan fizikal yang dikenali Cyberjaya. Ingat, konsep “mengurung” sesuatu sebenarnya warisan paradigma lama daripada ekonomi gelombang kedua dan pertama (masing-masing berasaskan assembly line dan tanah) tetapi k-ekonomi tidak memerlukan kurungan seperti itu.

Mahathir bukan pemuka alaf baru

Akal dan bakat manusia berada di mana-mana dan teknologi maklumat memudahkan modal manusia itu disalurkan dengan kaedah outsourcing untuk mendapatkan kos termurah dengan bakat terbaik. Inilah hubungan antara Lembah Silikon di Amerika Syarikat dengan pusat IT di India, Bangalore.

Dr Mahathir patut membaca karya pemikir ekonomi Institut Teknologi Massachusetts (MIT) Lester Thurow, The Future of Capitalism.

Tetapi idea MSC masih lagi dibelenggu paradigma lama. Selain satu bentuk kurungan, Cyberjaya kononnya tempat untuk menggalakkan pelaburan langsung luar negara (FDI) dan kerajaan sanggup mengamalkan dikotomi kebebasan - sejenis kebebasan mengikut piawaian antarabangsa di MSC dan satu lagi kebebasan draconian untuk seluruh rakyat Malaysia di luar kawasan itu.

Jelaslah, kecetekan akal anggota jemaah menteri Dr Mahathir itu bukan sahaja didorong tradisi ampu-bodek tetapi juga kejahilan PM sendiri. Dr Mahathir tidak menganut idea baru dan mengamalkan ciri-ciri baru sebagai “CEO Malaysia” kepada konsep perbadanan negara ini yang dibising-bisingkan sejak 1980-an itu.

Sebaliknya, dengan latar minda yang lapuk itu, Dr Mahathir hanya mencampur-adukkan gelombang-gelombang ekonomi itu tetapi bukannya pemuka alaf baru. Memahami jenis politik Dr Mahathir, maka kita tidak hairan kenapa Chor dan Zainuddin melafazkan kata-kata kongkongan seperti itu.

Malang, Malaysia tidak mempunyai pemimpin untuk menyahut alaf baru, jemaah menterinya membuntuti sahaja gelagat buruk itu dan penasihat-penasihat Mahathir pula mendiamkan diri.

Atau, apakah pemimpin seperti Mahathir itu suka mendengar nasihat?

....................................................................
Petikan Malaysiakini.com