"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
AKAN SEGERAKAH PENSWASTAAN JPJ?

     Mahathir berseloka lagi!! Kali ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjadi sasarannya. Dan begitu anih
     tumpuan Mahathir kepada JPJ Perak. Apakah JPJ di negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Selangor dan
     Johor begitu bersih? Dan apakah hanya JPJ sebagai jabatan terbanyak rasuahnya, kerana dalam ranking yang
     ada tidak meletakkan JPJ di tempat teratas. Sebaliknya PDRM dalam hal ini tidak disentuh seolah-olah
     Jabatan itu tidak ada berlaku rasuah langsung!!

     Kita jangan terlalu mudah menerima sogokan amalan rasuah JPJ. Kita juga tidak ingin menafikan perbuatan
     salah laku sebahagian anggota JPJ dengan perbuatan ini. Namun gambaran media seolah-olah JPJ sebagai
     Jabatan yang dipenuhi amalan rasuah. Lihat sajalah kepada kenyataan Pak Lah semalam bahawa pendedahan
     dan penyiasatan ke atas JPJ dikatakan sebagai satu pembersihan kepada amalan rasuah dalam jabatan itu.
     Media sedikit pun tidak bersimpati dengan JPJ sehinggakan peranan JPJ yang penting kepada hasil negara
     seolah-olah dinafikan. Apakah sebenarnya motif JPJ disiasat?

     JPJ Perak dalam pembentangan belanjawannya baru-baru ini hanya meminta sejumlah RM2 juta bagi
     menampung kos operasinya. Sebaliknya Jabatan itu menamakan RM12 juta sebagai balasan kepada pelaburan
     tersebut sebagaimana yang tercatat dalam hasil yang dikutip sepanjang 1999. Ini membawa erti JPJ Perak
     (satu panduan sahaja) adalah jabatan paling ekonomi dan menguntungkan. Apakah sebuah lombong 'emas' ini
     akan dibiarkan begitu sahaja oleh Mahathir?

     Dasar penswastaan Mahathir akan berlaku lagi. Yang anihnya penswastaan hanya berlaku kepada jabatan
     kerajaan yang produktif seperti Lembaga Letrik Negara, Telekom Malaysia, Hospital-hospital, Jabatan
     Bekalan Air, tidak terkecuali Jabatan Pengangkutan Jalan. Ramai yang mula mempersoalkan kewibawaan
     dasar penswastaan negara apabila sudah menyedari bahawa penswastaan hanya berlaku kepada bisnes yang
     menjadi keperluan dan tumpuan rakyat. Inilah kebijaksanaan Mahathir. Beliau sebenarnya tidak pandai
     berniaga, tetapi bijak mencipta peluang berniaga. Justeru itulah dasar persyarikatan dan dasar penswastaan
     dilakukan.

     Lihatlah apa yang terjadi kepada JKR. Mengapakah seluruh JKR tidak diswastakan. Hanya bahagian tertentu
     yang menguntungkan diswastakan. Ini membawa kepada kemunculan Projek Lebuh Raya Utara- Selatan
     (PLUS), Projek Lebuh Raya Lingkaran n Tengah dan Selatan serta berbagai projek lebuh raya yang sewaktu
     dengannya. Kita diperkenalkan kepada amalan bertol, walaupun sebelum ini kita tidak mengenali kertas tol
     pun. Semua bentuk penswastaan dilakukan setelah Mahathir menyedari bahawa rakyat bertindak anjal kepada
     bisnes yang dibentuk. Ini samalah dengan apa yang dihadapkan kepada JPJ sekarang.

     Justeru kepentingannya lesen memandu kepada warga negara ini, maka JPJ menjadi jabatan yang dominan
     dan berwibawa dari segi kutipan hasil tahunan. Prestasi kutipan hasilnya bertambah melebihi 10 peratus
     setahun, menjadikan ianya semakin menarik perhatian Mahathir. Sekali lagi dasar penswastaan dirangka dalam
     usaha merampas kekayaan jabatan itu untuk diberikan kepada golongan tertentu yang menduduki syarikat yang
     bakal mewarisi penswastaan itu nanti. Akan berlaku lagi satu kezaliman di mana harta negara sekali lagi
     masuk ke kantung korporat yang akan membiayai kekayaan Mahathir serta kroninya.

     Jangan terpedaya dengan segala isu penangkapan pegawai penguatkuasa BPR. Salah laku rasuah bukan
     berlaku dalam JPJ sahaja. Apa kurangnya dalam pentadbiran tanah, pentadbiran hutan dan jabatan polis?
     Tetapi mengapa JPJ seolah disiat-siat laku peri pendedahan yang dibuat. Apakah langkah ini satu tapak
     menyegerakan penswastaan JPJ yang kini ibaratkan  sebuah 'lombong emas' kepada hasil negara?