LAMAN NTZALIM
"Laman pro-Reformasi Anti Kezaliman"
POLIS FRU MULAI KAWAL
CERAMAH PAS
 
     Komentar TARMIZI MOHD JAM

     Pasukan Polis FRU mulai dihantar ke Markaz Tarbiyyah PAS Pusat untuk mengawal
     perjalanan program ceramah semalam, yang telah dianjurkan oleh PAS Kawasan Batu di
     dewan besar Markaz itu. Pihak pengajur juga telah diarahkan oleh pihak polis agar tidak
     memasang pembesar suara di luar dewan itu. Ini menyebabkan perkarangan Markaz itu sunyi
     dan suasana bertukar menjadi seolah-olah sebuah "Pasar Malam Islam".

     Ekoran itu juga, dewan menjadi penuh sesak dan suara penceramah yang lantang dan nyaring,
     tidak lagi berderai memecah kesunyian malam seperti lazimnya di Markaz itu yang
     berkumandang pada malam 29 dan 31 Julai lalu. Arahan ini dipercayai sebagai langkah terkini
     pihak kerajaan untuk "menyekat" program ceramah secara terbuka disamping kemungkinan
     besar mendapat komplin dari masyarakat sekitar.

     Hampir 20 ke 30 orang beruniform lengkap dengan senjata berkeliaran di tengah-tengah
     kesesakan orang-ramai yang datang untuk mengikuti program ceramah itu yang disampaikan
     oleh AJK PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli dan Ahli MPT KeAdilan, Dr. Badrul Amin.
     Tindakan ini juga dipercayai setelah arahan yang sama telah dilangggar oleh penganjur sehari
     sebelum itu, yang terus memasang pembesar suara di luar Markaz dengan kuat iaitu sewaktu
     ceramah Ustaz Fadzil Noor, Mahfuz Omar dan Salehuddin Ayub. Pihak polis pada malam itu
     dikatakan sukar "membolos" sejumlah 20,000 hadirin dan terpaksa "bertindak" pada malam
     semalam.

     Oleh kerana pembesar suara dalam dewan tidak dapat didengar oleh hadirin di luar sana,
     menyebabkan ramai kalangan yang datang kecewa dan mengisi "kekosongan" itu dengan
     membeli-belah, mendengar ceramah Muhamad Sabu dan Ustaz Akil Ar-Rawa melalui vedio
     ataupun melalui alunan kaset. Malah ramai juga yang berlonggok membuka sembang di
     warung-warung pasang siap sambil menjamu selera. Berbanding kelmarinnya, kehadiran
     semalam tidak kurang dari 3,000 orang.

     Terdapat dua kemungkinan mengapa pihak Polis FRU mengunjungi Markaz PAS itu. Pertama
     sebagai tindakan berjaga-jaga pihak polis terhadap apa yang dikatakan sebagai
     ceramah-ceramah "menghasut kerajaan". Pak Lah sering menegaskan, bahawa sejak
     akhir-akhir ini, pembangkang terutamanya PAS acapkali menganjurkan ceramah "membenci
     kerajaan" walaupun pilihanraya umum baru sahaja berlalu. Beliau bimbang dengan
     perkembangan ini. Baginya, ceramah politik hanya boleh dibuat semasa menjelang pilihanraya
     atau sewaktu berlangsungnya kempen-kempen pilihanraya diadakan.

     Alasan yang kedua, kemungkinan untuk memantau kecenderungan para penyokong BA
     dalam siri-siri ceramah muktakhir di Markaz itu. Ini berikutan banyaknya kempen-kempen
     mengajak orang-ramai turun padang pada 4 Ogos ini bersamaan hari Jumaat, berhimpun
     secara aman di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, iaitu pada hari sama ada Anwar
     dibebaskan atau tidak atas tuduhan melakukan liwat. Bagi mempastikan perhimpunan itu
     gagal, pemantauan dari Markaz ini amat diperlukan apatah lagi pada malam 3 Ogos iaitu lusa,
     KeAdilan pula akan menghimpunan para penyokongnya di Markaz itu untuk sembahyang
     hajat dan menganjurkan ceramah perdana sempena perhimpunan keesokkan harinya di
     hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pada firasat saya, pihak polis akan
     "menggagalkan" ceramah dan solat hajat pada malam itu, jika tindakan serupa yang pernah
     diambil oleh mereka sehari sebelum perhimpunan aman Black 14, dahulu. Kemungkinan juga,
     sekatan jalanraya masuk ke Taman Melewar akan diadakan bagi tujuan itu.

     Namun begitu, kebanjiran anggota polis FRU di Markaz PAS Pusat Taman Melewar
     semalam, telah mengejutkan hadirin dan mengundang pelbagai andaian dan tafsiran terhadap
     kehadiran mereka yang tanpa diundang. Demi keamanan dan keselamatan negara, saya yakin,
     para penyokong BA mengalu-ngalukan kawalan keselamatan seumpama itu pada
     majlis-majlis umum BA pada masa-masa depan tanpa mengganggu perjalanan
     program-program yang dianjurkan.