"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
Dewan Pemuda PAS kesal sikap negara Islam dalam isu Palestin
Oleh Saidah Hairan

KUALA LUMPUR 4 Oktober (HRKH): Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyifatkan tindakan tentera Israel yang terus mengganas di bumi Palestin adalah ekoran daripada sikap ekstrim rejim Zionis itu terhadap umat Islam.

Ketua DPPP, Haji Mahfuz Omar kesal dengan sikap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, negara-negara Islam dan juga negara-negara lain yang tidak serius untuk mengambil sebarang tindakan tegas terhadap pencerobohan negara dan hak-hak rakyat Palestin oleh tentera Israel.

"Sikap inilah yang menyebabkan Israel terus mengganas dari semasa ke semasa, termasuk dalam perkembangan terbaru yang sehingga kini telah mengorbankan hampir 60 orang, termasuk beberapa orang kanak-kanak," ujarnya.

Beliau berkata, Perdana Menteri Malaysia yang sering bersuara lantang mengkritik kuasa-kuasa besar Barat dalam isu negara-negara Selatan dan isu-isu berkaitan gagal mengambil sebarang tindakan bermakna apabila negara Palestin diserang oleh tentera rejim Israel.

"Jika Malaysia, melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, boleh menghantar tentera pengaman ke Bosnia, maka DPPP percaya bahawa Malaysia juga boleh menghantar tentera pengaman ke Palestin bagi menyelamatkan rakyatnya yang menjadi mangsa keganasan dan pencerobohan oleh rejim tersebut," katanya.

Untuk tujuan itu, menurut beliau lagi, Dewan Pemuda PAS pimpinannya itu bersedia menghulurkan apa-apa bantuan sama ada dengan menyediakan tabung peruntukan untuk tentera pengaman ke Palestin.

"Malah DPPP bersedia menawarkan khidmat pasukan sukarelawan dengan syarat mendapat kelulusan daripada Wisma Putra," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam, telah menangguhkan keputusan perbicaraan Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar, Timbalannya, Salahudin Ayub, Pesuruhjaya PAS Melaka, Minghat Mahmud dan seorang anggota PAS, yang didakwa terlibat dalam demonstrasi anti Zionis pada 1997 ke 9 November akan datang.

Pada April 1997, beberapa ribu orang pelajar Universiti Malaya telah menyertai anggota-anggota PAS memprotes keputusan kerajaan Malaysia pimpinan Dr Mahathir Mohammad menjemput pasukan kriket Israel untuk menyertai pertandingan kriket antara bangsa anjuran sebuah syarikat pengeluar minuman keras, Guiness.

Protes aman tersebut bertukar menjadi ganas apabila Kementerian Dalam Negeri, yang pada waktu itu diketuai oleh Dr Mahathir sendiri, mengarahkan polis menyuraikannya.

Dr Mahathir, ketika mempertahankan keputusannya menjemput pasukan kriket negara Zionis itu berkata, "inilah peluang untuk kita menunjukkan kepada mereka bagaimana Malaysia yang penduduknya pelbagai kaum boleh hidup dengan aman," walaupun pada saat yang sama beliau menyifatkan umat Islam yang menyertai protes berkenaan sebagai "bodoh."