"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
KENYATAAN MEDIA 08 JANUARI 2001

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Nasional yang bersidang pada hari ini, 8 Januari 2001 telah membincangkan secara menyeluruh isi kandungan surat Perdana Menteri kepada Presiden Parti Keadilan Nasional (keADILan) yang bertarikh 2 Januari 2001 dan setelah mengambil kira pandangan dan maklumbalas akar umbi, MPT sebulat suara mengambil keputusan berikut:

Parti Keadilan Nasional (keADILan) menolak pelawaan Perdana Menteri untuk berbincang isu yang disandarkan atas premis perpecahan orang Melayu kerana Parti Keadilan Nasional keADILan) berkeyakinan bahawa apa yang berlaku ialah anjakan sokongan orang Melayu dari UMNO kepada Barisan Alternatif. Isu utama hari ini ialah krisis keyakinan terhadap pucuk pimpinan negara dan juga isu-isu besar yang lain seperti penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, rasuah, keganasan polis, pengurusan ekonomi yang lemah dan sistem kehakiman yang dibolosi oleh kuasa eksekutif. Parti Keadilan Nasional (keADILan) bersetuju supaya isu-isu utama negara ini harus mendapat perhatian yang segera daripada semua pihak.

Parti Keadilan Nasional (keADILan) juga ingin menegaskan bahawa sebagai sebuah parti berbilang kaum, kami senantiasa mengambil sikap terbuka untuk menjamin keharmonian dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

DATIN SERI DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden