"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
Mahathir 'Double Standard'

Pada pandangan Dr Mahathir apabila seseorang itu  telah dipilih oleh rakyat menjadi ketua kerajaan sebuah negara, dia haruslah mempunyai kuasa penuh ke atas segala urusan dalam negara tersebut.

Semasa mula-mula dipilih menjadi Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1981, Dr Mahathir telah nampak halangan-halangan yang bakal menyusahkannya dalam mentadbir dan memimpin negara ini mengikut kehendaknya. Semua orang tahu Dr Mahathir mempunyai agenda besar untuk negaranya dan dunia. Kadang-kadang orang ramai sukar untuk menerima idea yang dibawanya. Bertambah sukar lagi bila parti pembangkang dan penentangnya selalu mempolitikkan apa saja rancangan yang dibuatnya untuk negara.

Di samping menggunakan rakyat biasa, parti pembangkang juga ada kalanya dapat mempengaruhi pihak istana dan badan perundangan yang juga mempunyai kuasa tersendiri yang tidak boleh dikawal oleh Perdana Menteri. Dr Mahathir telah nampak institusi-institusi ini ada kalanya boleh menggugat kedudukannya atau menjadi halangan kepada cita-citanya. Akhirnya secara halus, bagaikan sebuah sandiwara yang terancang rapi Dr Mahathir telah dapat menguasai badan kehakiman dan institusi raja-raja pula telah dapat dihapuskan kekebalannya. Sekarang kita nampak Perdana Menteri Malaysia adalah orang yang paling berkuasa di Malaysia dan kebal.

Institusi mufti yang sebelum ini begitu dihormati dan dipandang tinggi oleh orang ramai juga tidak terlepas dari dikritik dan ditegur oleh Dr Mahathir, sesuatu yang tidak berani dilakukan oleh Perdana Menteri terdahulu. Akhirnya mufti-mufti tunduk di bawah kuasa Dr Mahathir, mufti tidak boleh lagi mengeluarkan fatwa tanpa restu Dr Mahathir.

Dr Mahatir berpandangan Perdana Menteri yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat mestilah mempunyai kuasa penuh. Kerana pada anggapannya jika Perdana Menteri tidak berlaku baik maka rakyat boleh menggunakan peti undi untuk menurunkannya. Tetapi katanya lagi jika Sultan tidak berlaku baik, tidak ada jalan untuk menurunkannya dari takhta, oleh itu Sultan mesti dihilangkan kekebalannya supaya baginda boleh dikawal melalui undang-undang. Dr Mahathir mahu Perdana Menteri yang kebal dari undang-undang tetapi dia boleh diturunkan dengan peti undi. Tidak hairanlah kalau selama ini berpuluh-puluh dakwaan salah laku Dr Mahathir yang dilapurkan kepada polis dan Peguam Negara oleh parti pembangkang tetapi  akhirnya senyap begitu saja tanpa sebarang tindakan.

Kadang-kadang ada baiknya jika semua kuasa dilonggokan kepada Perdana Menteri untuk memberi kelicinan kepada perlaksanaan agendanya. Mungkin cara itu tidak akan menimbulkan masalah selagi Perdana Menteri itu tidak bermasalah. Tetapi kalau dapat Perdana Menteri yang tidak baik, tidak adil dan zalim tentulah rakyat akan terus menanggung derita akibatnya.

Kita memang setuju dengan prinsip seseorang yang menjadi Perdana Menteri mestilah mempunyai kuasa penuh. Dan kita boleh setuju dengan pandangan Dr Mahathir yang mengatakan seorang Perdana Menteri yang tidak baik boleh diturunkan melalui pilihanraya.  Tetapi ini hanya boleh berlaku secara teori saja. Hakikatnya kuasa penuh yang dia miliki itu dapat pula dia gunakan untuk mempastikan peti undi sentiasa memihak kepadanya. Sampai bila pun dia tidak akan boleh diturunkan melalui peti undi.

Kalau sudah semua media elektronik dan akhbar utama diarahkan untuk memuji-muji kebaikannya dan menutup keburukan dan kelemahannya manakala keburukan pembangkang diada-adakan dan dibesar-besarkan sudah tentu kita sudah tahu keputusan yang keluar dari peti undi pada setiap pilihanraya. Itu belum termasuk undi pos yang meragukan dan pendaftaran undi hantu. Media parti pembangkang untuk menyampaikan maklumat disekat mengikut kehendaknya, permit berhimpun dan memberi ceramah oleh parti pembangkang disekat dan disukarkan. Bolehkah dengan segala macam rintangan dan halangan ini   Perdana Menteri yang tidak baik boleh diturunkan?

Dari sejarah dunia kita dapat perhatikan banyak pemimpin yang berkuasa mutlak tidak pernah dapat diturunkan melalui peti undi sekalipun kepimpinannya tidak disukai lagi oleh rakyatnya. Lihatlah kepada Presiden Suharto dan Presiden Marcos sebagai contoh terdekat kepada kita, peti undi tidak pernah dapat menurunkan mereka.

Agenda Dr Mahathir memang besar, dia mahu orang Islam di Malaysia khususnya dan di dunia amnya maju dan boleh berdiri sama tinggi dengan masyarakat lain di dunia ini. Dr Mahathir mahu umat Islam dapat menguasai segala bidang ilmu dan kemajuan serta menjadi umat yang ke depan.

Dia mahu memertabatkan umat Islam tapi dia juga punya kelemahan. Apalah ertinya dia bercakap lantang melaungkan pasal Islam yang betul dan keadilan di depan masyarakat antarabangsa tetapi dalam masa yang sama dia tidak bertindak seiring dengan nilai Islam itu sendiri. Dengan mudahnya dia mengaibkan dan memfitnah Anwar Ibrahim sebelum makamah menjatuhkan hukum. Dia membahagi -bahagikan kekayaan negara dikalangan saudara mara dan rakan-rakannya padahal tindakan seperti itu sangat tercela dalam Islam.

Dia mudah rasa sebak dan menangis bila mengenang kembali bangsa Melayu yang pernah dijajah dan dihina oleh bangsa lain, tetapi di manakah hati Dr Mahathir yang lembut itu bila tidak berasa apa-apa melihat anak-anak Anwar yang masih kecil dipisahkan dari bapanya angkara fitnah.

Dia begitu tegas membenteras rasuah dan salah laku seks bila terkena kepada musuh politiknya, tetapi Rahim Thamby Chik dan Abu Hassan yang dikhabarkan berlaku sumbang tidak pernah pula dia begitu mahu bertegas.

Bukankah double standard dan dikriminasi amalan yang sangat tercela dalam Islam tetapi kenapa Dr Mahathir sendiri yang mengamalkannya. Dr Mahathir selalu mendakwa dia saja yang betul-betul faham tentang Islam dan orang lain banyak yang salah dalam memahami agama Islam. Sebenarnya apa yang berlaku kita ini ibarat sekumpulan orang buta  yang menceritakan tentang rupa gajah. Kalau kita tak mahu terima pandangan orang lain dan hanya bertegas dengan pandangan kita saja maka sampai bilapun kita akan katakan gajah itu seperti kipas jika kita memegang dibahagian telinganya.

Bukanlah semua Dr Mahathir itu salah tetapi tidak juga semua dia betul. Makamah kita juga memang adil, tetapi bila melibatkan yang ada kepentingan dengan Dr Mahathir kelihatan makamah kita sukar untuk berlaku adil. Suratkhabar perdana dan media elektronik di negara ini terang-terang menjadi propaganda dan alat kempen pemimpin, dan tiada ruang untuk parti pembangkang.

Dr Mahathir juga selalu  didapati berbohong dalam ucapannya, antara sifat mulia yang harus ada pada seorang pemimpin ialah benar (sidiq) dan amanah, tetapi Dr Mahathir tidak malu untuk berkata bohong. Siapalah yang tidak pernah dengar Dr Mahathir berkata dia akan letak jawatan setelah ekonomi pulih. Sekarang ekonomi telah pulih dan dia sendiri mengakui ekonomi telah pulih tetapi sampai sekarang tidak nampak bayang tanda-tanda dia akan berundur.

Apabila kita selalu berbohong, sekalipun di lain masa kita bercakap benar pun orang akan kata kita bohong dan hanya bersandiwara. Samalah seperti cerita gembala kambing yang suka berbohong yang akhirnya membawa padah kepada dirinya sendiri.