"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
MAHATHIR Dihentam Masyarakat Antarabangsa

Kesatuan Islam Amerika Utara (ISNA) menarik balik jemputan kepada Perdana Menteri, Dr
Mahathir Mohamad untuk menyampaikan ucapan pada awal September depan. Sebabnya
kerana ahli-ahli ISNA berasa sedih dan marah atas hukuman sembilan tahun yang
dijatuhkan ke atas Dato'Seri Anwar Ibrahim.

Dr Shaikh Taha Jabir Al-Awami, Pengerusi Majlis Fiqh Amerika dan Kanada memberikan
pandangan Syariah terhadap hukuman ke atas Anwar Ibrahim oleh Hakim Mahkamah Tinggi,
Datuk Ariffin Jaka. Beliau berkata, "Dato' Seri Anwar Ibrahim patut diisytiharkan tidak
bersalah. Beliau patut dibebaskan serta-merta dan para penuduh beliau dibicarakan kerana
memfitnah."

Beberapa hari lalu, bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew telah menamatkan
lawatannya ke Malaysia. Beliau telah mengadakan satu sidang akhbar. Dalam sidang
akhbar itu Lee berkata cara Malaysia menangani kes Anwar Ibrahim adalah satu
malapetaka atau "unmitigated disaster". Beliau juga berkata bahawa Dr Mahathir telah
membuat beberapa kesilapan dalam perhitungan. Ucapan itu telah menimbulkan rasa
kurang senang di kalangan pihak-pihak tertentu. Beberapa pihak di Malaysia itu
beranggapan Lee Kuan Yew telah mengkritik Mahathir berhubung soal Anwar Ibrahim.

Sekembalinya ke Singapura, dalam satu interviewnya dengan Reuters pada hari Sabtu,
Menteri Kanan Singapura itu berkata bukan niatnya untuk mengkritik Mahathir.

Ternyata isu Anwar sukar untuk mati begitu sahaja. Perhatian dunia antarabangsa
terhadap diri bekas Timbalan Perdana Menteri itu sangat nyata. Pada tahun 1998 sebaik
Anwar dipecat dan ditahan di bawah ISA, dua orang Presiden negara jiran, iaitu Presiden
Estrada dan Presiden Habibie tidak disenangi oleh pihak berkuasa di Malaysia kerana
mengeluarkan kenyataan simpati mereka terhadap Anwar.

Pemimpin-pemimpin Amerika seperti Naib Presiden Al-Gore, Mandeline Albright dan Cohen
lebih-lebih lagi dibenci Mahathir dan para pendukungnya kerana sokongan terbuka mereka
terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Kini Lee Kuan Yew, ISNA, Dr Shaikh Taha
Jabir dan ramai lagi tidak boleh tutup mulut begitu sahaja tentang apa yang telah berlaku
ke atas Anwar. Mahathir terpaksa menjawab.

Kes perbicaraan Anwar Ibrahim juga mendapat liputan media antarabangsa secara meluas.
Majalah Time Asia [ August 21-August 28] menulis, "Rough Justice". Satu keadilan yang
kasar, terjemahan secara mudah. Di bawah tajuk itu tertera satu soalan, "The Anwar
verdict is drawing scorn at home and abroad. Will Malaysia ever be the same?". Hukuman
terhadap Anwar menerima bantahan dari luar dan dalam negeri. Penulisnya, Anthony
Spaeth bertanya, adakah Malaysia akan tetap sama selepas ini?

Rencana itu dihiasi dengan gambar Anwar Ibrahim melambaikan tangan kepada para
penyokongnya di luar bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas hukuman
dijatuhkan pada 8 Ogos lalu. Di belakang Anwar, dipisahkan oleh jerisi besi kelihatan isteri
Anwar, Dr Wan Azizah Ismail dan tiga orang anak mereka. Dr Wan Azizah juga kelihatan
melambaikan tangan kepada para penyokong. Wajah Anwar yang cuba tersenyum tetapi
dengan bibir yang terkatup menggambarkan keazamannya yang tidak diluahkan. Bekas
Timbalan Perdana Menteri itu dengan raut wajahnya itu menghantar isyarat bahawa dia
akan terus berjuang. Tetapi, Dr Wan Azizah dan anak-anak tidak dapat menyembunyikan
rasa pilu dan sedih mereka, terutama melihat Anwar yang akan melalui tempoh penjara
selama 15 tahun akan di bawa semula ke Penjara.

Majalah Asiaweek [August 18] pula menulis dengan tajuk, "Guilty As Charged". Bersalah
seperti yang dituduh. Santha Oorjitham, wakil Asiaweek di Kuala Lumpur menyatakan
bahawa hukuman penjara selama sembilan tahun adalah satu tamparan kepada Umno dan
juga pembangkang. Sebahagian besar orang Melayu akan terus menjauhi Umno. Pada masa
yang sama, Parti Keadilan Nasional akan terjejas sama kerana Anwar terpenjara begitu
lama. Demikian pemerhatian penulis itu.

Sementara itu, S. Jayasankaran, wartawan majalah Far Eastern Economic Review [August
17] mengulas keputusan perbicaraan Anwar di dalam rencananya yang berjodol, "Fifteen
Years" berpendapat hukuman penjara yang begitu berat ke atas Anwar akan menyalakan
semula penentangan pembangkang terhadap parti yang memerintah. Rencana FEER itu
berpendapat cara bagaimana kerajaan Malaysia menangani kesan dari kes Anwar ini adalah
penting dalam mengatasi perpecahan yang semakin mendalam di kalangan majoriti orang
Melayu. Kes Anwar itu juga menurut penulis itu mempunyai implikasi ekonomi. Pelaburan
asing telah merosot 71% dalam lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang
sama pada tahun 1999.

Akhbar Wall Street Journal [Eastern edition, August 9], di bawah jodol, "The Verdict on
Anwar" menulis pandangannya iaitu apa yang berlaku di luar mahkamah pada akhirnya
adalah perkara yang paling penting bagi masa depan Malaysia. Sebelum kes Anwar ini
dibawa ke mahkamah, iaitu apabila Anwar Ibrahim ditahan dan kemudian dipukul dengan
teruk semasa dalam tahanan, itu semua membawa pengertian yang lebih besar berbanding
kesalahan yang dituduh ke atasnya. Isu utamanya ialah kuasa dan polisi. Hanya dengan
memeriksa ini semua barulah kita boleh memahami akan ketaksuban kerajaan yang
berkuasa untuk mensabitkan Anwar dengan tuduhan. Juga dalam masa yang sama untuk
mengerti akan permusuhan Dr Mahathir Mohamad dan bakal penggantinya itu. Demikian
akhbar Wall Street Journal mengupas.

Selepas meneliti beberapa pandangan majalah asing terhadap keputusan perbicaraan
Anwar, ada baiknya direnung apakah pandangan badan-badan profesional undang-undang.
Dari Geneva, bertarikh 8 Ogos, The International Commission of Jurists (ICJ) mengecam
keras hukuman sembilan tahun penjara ke atas Anwar Ibrahim. ICJ berkata badan
kehakiman Malaysia telah dimanipulasi.

"ICJ mengutuk kerajaan (eksekutif) memanipulasi badan kehakiman dan menggunakan
sistem undang-undang jenayah bagi melancarkan pertuduhan yang bermotifkan politik dan
menekan pembangkang" demikian pandangan ICJ menerusi satu kenyataannya yang
dikeluarkan dari pertubuhan itu yang terletak di Geneva. Kelihatannya, perhatian dunia
antarabangsa terhadap kes Anwar Ibrahim amat meluas. Kecuali negara-negara ASEAN
yang segan-segan dan tidak mahu menjatuhkan air muka Mahathir dan kerajaan Malaysia
melalui dasar "tidak mahu jaga tepi kain negara jiran". Tetapi pemimpin dunia lainnya berani
bersuara. Para pemimpin Kanada, New Zealand, Australia, Amerika Syarikat dan Kesatuan
Eropah, masing-masing mengeluarkan pandangan prihatin mereka terhadap keputusan
perbicaraan ke atas Anwar.

Apabila Mahathir singgah di London selepas sidang di Maputo, Mozambique, baru-baru ini,
beliau tidak dapat lari dari disoal oleh wartawan berhubung hukuman ke atas Anwar. Ketika
menjawab, muka Mahathir tunduk seperti tidak berani menentang tepat ke kanta kamera.

Tetapi lebih penting dari itu semua ialah pandangan ahli undang-undang kita sendiri
terhadap kes Anwar Ibrahim ini. Mereka lebih dekat dan lebih mengetahui. Dari dalam
negara kita sendiri, Majlis Peguam Malaysia membuat pendiriannya menerusi satu
kenyataan akhbar bertarikh 11 Ogos, yang dikeluarkan oleh Roy Rajasingam, Naib Presiden
Majlis Peguam Malaysia.

Kenyataan itu menyebut pada para pertama, " Keputusan pensabitan dan hukuman yang
dijatuhkan ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, dan Sukma
Darmawan Sasmitaat Madja, dilihat oleh ramai anggota Majlis Peguam dan orang ramai
dengan perasaan kecewa kerana irregularities (perkara luar biasa) yang berlaku semasa
perbicaraan dan keterangan yang dikemukakan di mahkamah seperti yang dilaporkan.
Beberapa aspek daripada keterangan saksi yang berkaitan dengan pensabitan telah
menimbulkan kebimbangan yang mendalam,"

Kebimbangan yang mendalam Majlis Peguam Malaysia itu sekarang dikongsi bersama jutaan
rakyat Malaysia. Kalau Anwar Ibrahim, bekas orang nombor dua dalam kerajaan dizalimi dan
diperlakukan tidak adil sehingga sedemikian rupa oleh institusi-institusi negara, jadi apa
jaminan kepada rakyat biasa?

 tMK
http://members.tripodasia.com.my/tMK/index.htm

Mat Despatch
28 Ogos 2000