"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
BPR Masih Berdolak-dalihTentang Eric Chia

KENYATAAN MEDIA PARTI RAKYAT MALAYSIA (PRM)

Aneh juga kerana Badan Pencegah Rasuah (BPR) alih-alih bertubi-tubi mengeluarkan kenyataan ia sudah mempunyai bukti tentang sejumlah wang yang lesap daripada Syarikat Perwaja semasa Tan Seri Eric Chia menjadi Pengerusi Eksekutif. Kami mengatakan aneh kerana selama empat tahun BPR memberi alasan mereka mengalami kesulitan hendak mengumpul bukti dari luar negeri.

Hanya selepas Eric Chia mengumumkan melalui Singapore Straits Times bahawa beliau telah mengumpul cukup bukti dari negeri-negeri Brazil, Chile, Itali dan Jepun, barulah BPRmengumumkan bahawa mereka pun sudah dapat menjejak sejumlah wang yang kononnya telah dibayar oleh Perwaja. Bezanya ialah Eric Chia mendakwa bahawa beliau dapat mengumpul segala bukti dan dokumen dalam tempoh enam bulan saja, akan tetapi sebaliknya BPR masih mengatakan mereka belum dapat menyelesaikan penyiasatan selepas empat tahun berlalu.

Kami beranggapan kelewatan BPR ini seolah-olah disengajakan. Adakah kerana Eric Chia sengaja hendak diselamatkan selama ini oleh kerana hubungan rapatnya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad?

Sudah berkali-kali kami menegaskan bahawa kes yang boleh segera diambil terhadap Perwaja dan Eric Chia ialah berhubung RM76.4 juta yang dibayar kepada NKK Corporation melalui Frilsham Enterprises Inc. di Hongkong. Semasa perkara ini didedahkan dalam Parlimen oleh Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah diketahui bahawa Frilsham Enterprises Inc. itu tidak wujud.

Sekarang Ketua Pengarah BPR mengakui mereka telah menjejaki bahawa jumlah wang itu telah dimasukkan ke dalam akaun bank di Switzerland. Selaku Ketua Pengarah BPR, Datuk Mohd Zaki Hussein, menjelaskan bahawa susah hendak dituduh bahawa rasuah telah berlaku. Mungkin wang itu merupakan satu transaksi perniagaan. Jadi penyiasatan lanjut perlu dilakukan.

Kami tidak faham. Sekiranya wang sebanyak RM76.4 jua itu telah digunakan untuk perniagaan, mengapakah dari mula-mula lagi Eric Chia tidak pernah menjelaskan wang itu memang sebenarnya digunakan untuk tujuan perniagaan? Mengapakah sampai sekarang pun, selepas empat tahun, BPR tidak mendapat penjelasan atau bukti daripada Eric Chia bahawa wang itu telah digunakan untuk tujuan perniagaan?

Selagi BPR melambat-lambatkan tindakannya ke atas Eric Chia dan ke atas keterangan yang dibuat oleh Datuk Shafie Yahya, bekas Ketua Pengarah BPR, dalam mahkamah baru-baru ini terhadap Perdana Menteri, rakyat umum tidak akan mempercayainya.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
14hb September 2000