"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
Gobala dedah BN takutkan bukan Islam terhadap PAS

MERBOK, 19 Sept (Hrkh)- Aktivis reformasi, N. Gobalakrishnan mendedahkan sikap pemimpin BN yang sering melabelkan orang-orang PAS sebagai 'hantu, fanatik, zalim dan sebagainya bagi menakutkan orang Cina dan India di negara ini.

Beliau yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun berada di dalam MIC dan BN melahirkan perasaannya setelah merasai lemak manis hubungan antara kaum apabila menyertai Barisan Alternatif sejak berlakunya reformasi. "Selama 15 tahun, saya berada bersama mereka, saya tidak pernah diajar berinteraksi sebegini rupa, tidak pernah diberitahu kepada saya bahawa orang Islam itu baik. "Barisan Nasional mengajar bukan Islam mengenai orang PAS, mereka seperti hantu, kalau melihat orang memakai serban jubah, itu puak fanatik yang akan menzalimi orang Cina dan India. "Saya nak tanya, apa salahnya seorang yang alim ulamak dan muslim itu memakai serban dan jubah seperti yang dipakai oleh Nabi Muhammad?," soal Gobala lagi.

Gobala mendedahkan perkara itu semasa berucap dalam Majlis Sumpah Keramat 2 Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Pekan Jeniang, dekat sini bersama-sama dengan Ketua Pemuda KeADILan, Saudara Ezam Mohd Noor. Menurut pengerusi majlis, Gobalakrishnan yang setakat ini masih lagi memegang kejuaraan mereka yang kerap ditangkap kerana reformasi itu telah mendapat bimbingan Mursyidul Am PAS, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Katanya, tidak terdapat kejadian yang membabitkan perkauman di negeri-negeri yang diperintah PAS seperti Kelantan dan Terengganu yang mempunyai penduduk Islam seramai 99 peratus.

"Perkara Li Ta'arafu yakni untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain tidak diajar oleh Dr Mahathir kepada (Presiden MIC), Samy Vellu walaupun sudah 40 tahun berada dalam BN. "Tetapi dalam hanya setahun lebih saya masuk KeADILan, Dr Badrul Amin dan Sheikh Azmi mengajar saya apa yang dikatakan oleh Tuhan di dalam Al-Quran (bermaksud) 'Wahai manusia, Aku jadikan kamu berbagai bangsa dan kaum supaya kamu boleh kenal mengenal di antara kamu'".

"BN tidak mengajar saya apa yang diajar oleh PAS yang suka perpaduan berbagai kaum di negara ini," katanya dengan penuh yakin tentang perjuangan keadilan. Beliau turut kesal dengan tohmahan pemimpin BN mengenai huru hara yang bakal berlaku jika PAS atau KeADILan memerintah negara pada satu masa nanti sedangkan terbukti tiada kezaliman berlaku di Kelantan dan Terengganu, dua negeri yang diperintah PAS kini.