"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
BN sabotajkan persidangan DUN Melaka
Kenyataan Akhbar Setiausaha Publisiti DAP Melaka Dan ADUN Kawasan Durian Daun Betty Chew Gek Cheng Di Melaka Pada 8.9.2000.

Kerajaan BN Sabotajkan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka Semalam Kerana Takut Untuk Menjawab Usul DAP Mengapa Gagal Tunaikan Janji Bersedia Membantu Sekolah Menengah Pay Fong, Dan Menghapuskan Penyelewengan Kewangan Dalam Projek Kerajaan

=========================================================

Kerajaan BN sabotajkan persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka semalam kerana takut untuk menjawab usul DAP mengapa gagal tunaikan janji bersedia membantu Sekolah Menengah Pay Fong, dan menghapuskan penyelewengan kewangan dalam projek kerajaan. Tindakan ADUN BN mengagalkan persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang mensabotajkan perjalanan demokrasi dan membelakangkan kepercayaan rakyat dalam pilihanraya.

Perbuatan ini juga memalukan kerana bukan sahaja perkara penting rakyat tidak boleh dibincang tetapi juga memecahkan satu rekod yang memalukan untuk demokrasi di dunia. Tidak pernah berlaku dan pertama kali di dunia, sebuah kerajaan dengan sengajaberulang-ulang kali mengagalkan mesyuarat Dewan yang dipanggil oleh parti pemerintah sendiri.

Kerajaan BN bersedia membuat sabotaj begini kerana tidak mahu menghadapi usul-usul penting wakil rakyat DAP untuk menegakkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan supaya penyelewengan kewangan yang merugikan rakyat Melaka beratus-ratus juta boleh dihapuskan.Selain daripada usul-usul saya tentang pentingnya mengadakan tender terbuka untuk projek-projek awam kerajaan, skendal kenaikan projek Empangan Air Jus sebanyak 300% ataupun RM339 juta dalam masa setahun, usul yang paling ditakuti oleh kerajaan BN adalah mengenai peruntukan tahunan bagi Sekolah Menengah Pay Fong.

Saya telah membentangkan usul "Bahawa Dewan ini membuat ketetapan bahawa kerajaan negeri membuat peruntukan tahunan sebanyak RM1 juta diberikan kepada Sekolah Menengah Pay Fong untuk membantunya mengatasi masalah kewangan dan memenuhi sumbangannya kepada pembangunan pendidikan negara."

Mencabar ADUN-ADUN MCA Menyokong Peruntukan Tahunan RM1 Juta Untuk Sekolah Menengah Pay Fong

=========================================================

Kerajaan negeri Melaka harus mencontohi kerajaan PAS Terengganu dengan memberikan peruntukan tahunan RM1 jutakepada Sekolah Menengah Pay Fong yang merupakan hanya 0.5% Belanjawan Negeri Melaka 2000. Kerajaan PAS Terengganu telah meluluskan RM1 juta untuk 10 buah SRJK© kerana tidak ada sekolah Cina menengah swasta di Terengganu. Kalau ada sekolah Cina menengah swasta di Terengganu, sudah pastinya kerajaan PAS Terengganu akan memberikan RM1 juta kepadanya.

Adalah patut peruntukan tahunan RM1 juta ini diluluskan kepada Pay Fong kerana sumbangan pentingnya kepada pembangunan pendidikan dan ekonomi negara. Pay Fong telah mendidik banyak pelajar-pelajar berakhlak tinggi, warganegara bertanggunjgawab, ahli profesyenal dan peniaga yang setia kepada negara dan membantu memajukan ekonomi.

Jumlah RM1 juta setahun adalah munasabah kalau dibandingkan dengan Belanjawan Negeri 2000 sebanyak RM214 juta. RM1 juta hanya merupakan 0.5% Belanjawan Negeri. Adakah perbelanjaan RM 1juta daripada RM214 juta ataupun hanya 0.5% Belanjawan Negeri pun tidak boleh diberikan untuk tujuan pendidikan yang membina warganegara yang produktif, bermoral tinggi dan bertanggungjawab kepada negara?

Cadangan RM1 juta juga lebih kurang daripada perbelanjaan hospitaliti untuk Ketua Menteri Melaka sebanyak RM1.5 juta dalam 8 bulan pertama tahun ini. Bukankah pendidikan lebih penting daripada hospitaliti?

RM1 juta juga jauh lebih kurang daripada RM105 juta yang kehilangan dalam akaun kerajaan pada tahun 1998 ekoran penyelewengan pegawai kerajaan negeri Kalau kehilangan kewangan sebanyak RM105 juta ini boleh dihentikan, ia boleh menampung perbelanjaan Pay Fong selama 105 tahun!

Saya ingin mencabar keempat-empat ADUN-ADUN MCA menyatakan samada berani menyokong pemberian peruntukan tahunan RM1 juta, untuk menunjukkan komitmen mereka ke atas Pay Fong dan pendidikan Cina. Kalau mereka gagal buat demikian, ini menunjukkan bahawa MCA tidak ikhlas dan hanya main silap mata politik berpura-pura memperjuangkan pembangunan pendidikan Cina dan Pay Fong.

Sudah sampai masanya kerajaan negeri BN dan MCA mengakui sumbangan penting pendidikan Cina kepada pembangunan dan kemajuan ekonomi negara dengan memberikan peruntukan tahunan RM1 juta kepada Pay Fong sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan PAS Terengganu. Tidak ada sebab kerajaan BN Melaka tidak boleh sama-sama liberal dengan kerajaan PAS Terengganu.

 
- BETTY CHEW -