"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
Kenyataan Media oleh Mohamed Azmin Ali

Saya kesal dengan penafian Tan Sri Muhammad Haji Mohd. Taib, Naib Presiden UMNO mengenai kenyataan yang pernah dibuat oleh beliau semasa kami bertemu ketika mengerjakan Umrah pada bulan Ramadhan yang lalu. Saya hanya mendedahkan bahawa seorang Naib Presiden UMNO dan dua orang pimpinan tertinggi Pemuda UMNO ada bertemu dengan saya di Madinah dan Makkah baru-baru ini.

Dalam kenyataan akhbar yang dilapurkan oleh media hari ini, Tan Sri Muhammad sendiri mengesahkan bahawa kami pernah berjumpa ketika mengerjakan Umrah malahan beliau sendiri terus memberikan penjelasan terperinci bahawa pertemuan dengan saya berlaku dua kali dalam tempoh berkenaan.

Saya amat memahami dilema yang dihadapi oleh Tan Sri Muhammad yang memegang jawatan yang tinggi dalam UMNO. Justeru itu, saya tidak hairan apabila beliau terpaksa membuat penafian mengenai isu perbincangan dengan saya kerana ' budaya tekanan ' dalam UMNO terlalu kuat dan menyeluruh.

Saya ingin menegaskan bahawa saya tetap mempertahankan kenyataan saya sebelum ini mengenai pertemuan dan isu perbincangan di antara Tan Sri Muhammad dengan saya semasa kami mengerjakan Umrah baru-baru ini. Saya juga telah merujuk dan memohon nasihat dari peguam saya mengenai isu ini.

Terima Kasih.

YB Mohamed Azmin Ali
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Hulu Kelang /
Ketua Perhubungan keADILan Negeri Selangor
4 Februari 2001