"Laman Reformasi Anti Kezaliman"
RM 13 Juta Dari Sumber Mana?

 Oleh Ummu Natasya

 BADAN Pencegah Rasuah (BPR) diminta menyiasat dakwaan yang mengatakan bekas Setiausaha Politik
 Menteri Besar Selangor, Dato’ Aziz Mohd Noh dan bekas Bendahari Badan Perhubungan Umno Negeri
 Selangor, Dato’ Shaari Jihim mengeluarkan wang tunai sejumlah RM13 juta yang disangsikan dari mana
 sumber wang itu.

 Wang itu disimpan dalam akaun bersama Dato’ Aziz dan Dato’ Shaari, dikeluarkan secara berperingkat di
 Malayan Banking Berhad Kuala Lumpur (ibu pejabat) seminggu selepas Dato’ Seri Abu Hassan
 melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor.

 Walaupun tiada aduan rasmi dibuat, tetapi BPR sepatutnya mempunyai maklumat ini kerana selama ini
 BPR Selangor dikatakan cukup intim dengan Dato’ Seri Abu Hassan, Dato’ Aziz kakitangan pejabat Menteri
 Besar Selangor.

 Dalam pertandingan Umno Bahagian Kuala Selangor tahun 1998, BPR dikatakan campurtangan hingga
 boleh memasuki dewan persidangan dan menahan beberapa perwakilan yang dikatakan tidak menyokong
 Dato’ Seri Abu Hassan.

 Mereka (perwakilan ini) ditahan untuk beberapa hari tetapi tiada dakwaan dikenakan. Satu sumber yang
 rapat dengan Umno Bahagian Kuala Selangor yang diketuai Dato’ Seri Abu Hassan mengatakan BPR
 bertindak sedemikian atas permintaan Abu Hassan bagi menakut-nakutkan mereka yang tidak menyokong
 Dato’ Seri Abu Hassan.

 Beberapa perwakilan yang ditahan diugut supaya mengaku mereka terlibat dengan politik wang dan
 sesetengahnya diminta menandatangani pengakuan yang sudah disiapkan oleh pegawai-pegawai BPR.

 Dalam pertandingan itu, Abu Hassan menang tanpa bertanding manakala timbalannya, Miskon Sutero
 menang hanya dengan kelebihan 10 undi.